Juara La Liga musim ini, Barcelona akan bertemu Real Madrid dalam aksi El Clasico di Santiago Bernabeu awal pagi isnin ini.
Pengendali Real Madrid, Zinedine Zidane menegaskan kelab itu tidak akan memberikan ‘guard of honor’ kepada Barcelona apabila kedua-dua pasukan itu bertemu.
Barcelona mengesahkan kejuaraan liga musim ini, minggu lalu dan akan bertemu Real untuk aksi seterusnya.
“Dulu selepas Piala Dunia Kelab, mereka enggan melakukannya untuk kami. Buat apa kami mahu melakukannya.
“Mereka mungkin akan mengatakan mereka tidak melakukannya kerana kami bukan dalam saingan liga ketika itu tetapi hal itu tidak benar.
“Kamu perlu menang Liga Juara-Juara untuk beraksi dalam saingan berkenaan dan kedua-dua pasukan dalam saingan Liga Juara-Juara.
“Ia bukan keputusan saya untuk menentukan ‘guard of honor’ tetapi mereka tidak lakukan untuk kami. Kami, tidak akan lakukan untuk mereka kerana mereka juga tidak melakukannya untuk kami.
“Kami menghormati apa yang dilakukan Barcelona untuk memenangi gelaran liga, bagi saya ia adalah paling sukar dan sesuatu yang bagus jika kamu boleh memenanginya.
“Namun, perkara ini berlaku, jika mereka tidak lakukannya untuk kami, kami tidak akan memecahkan tradisi hanya untuk mereka,” kata Zidane.
Insiden yang dimaksudkan Zidane adalah merujuk kepada apa yang berlaku sebelum pertemuan El Clasico pada 23 Disember lalu apabila Real yang pulang dari Emiriah Arab Bersatu sebagai juara Piala Dunia Kelab tidak mendapat ‘guard of honor’ daripada Barcelona.
Dalam perlawanan itu, Barcelona melakar kemenangan ke atas Real 3-0.