Kenali Pemain Lebih Umur Yang Pernah Beraksi Buat Skuad Kebangsaan Dalam Saingan Sukan Asia

Sukan Asia

Dalam pertandingan bola sepak di Sukan Asia, bermula dengan edisi di Busan 2002, kategori lelaki dimainkan oleh pemain berusia bawah 23 tahun.

Tiga orang pemain melebihi had umur dibenarkan menyertai kejohanan ini sekaligus mengikut format pertandingan Sukan Olimpik.

Skuad Malaysia juga tidak pernah terlepas menyertai acara ini dan setiap penampilan turut disertai pemain senior.

Artikel kali ini akan membawa pembaca mengenali 3 orang pemain senior yang dibawa oleh jurulatih bagi setiap edisi.

BUSAN 2002

Malaysia tersingkir di peringkat kumpulan dengan tewas 2 kali dan menang sekali.

Ketika ini, Perak adalah boleh dianggap sebagai antara kuasa besar dalam bola sepak Malaysia.

Maka tidak hairanlah mengapa jurulatih Allan Haris membuat keputusan memanggil 2 orang pemain dari skuad Seladang iaitu Ahmad Shahrul Azhar Sofian dan Muhamad Khalid Jamlus.

Ahmad Shahrul yang berperanan sebagai jeneral tengah turut dilantik sebagai kapten dan Khalid yang ketika itu mendahului senarai penjaring terbanyak Liga Perdana 1 diletakkan sebagai penyerang utama.

Pencaturan membawa Khalid berhasil kerana ketiga-tiga gol negara yang terhasil dalam kejohanan ini adalah ledakan hatrik beliau ketika Malaysia menumbangkan Maldives 3-0.

Seorang lagi pemain yang dibawa ialah penjaga gol Selangor, Azmin Azram Abdul Aziz yang kini bertugas sebagai jurulatih penjaga gol Kebangsaan.

Beliau dipilih kerana ketika itu kita kerkurangan penjaga gol muda. Mohd Syamsuri Mustafa masih lagi cetek pengalaman di pentas antarabangsa. Beliau beraksi penuh dalam semua perlawanan dan melepaskan 5 gol.

DOHA 2006

Malaysia tersingkir di peringkat kumpulan dengan tewas kesemua perlawanan.

Antara pemain yang menjadi turut menjadi pilihan ialah Indra Putra Mahyuddin dan Rudie Ramli, namun kecederaan saat akhir menyebabkan mereka terpaksa diketepikan.

Jurulatih, Norizan Bakar membuat keputusan untuk memanggil 2 orang pertahanan, Norhafiz Zamani Misbah (Pahang) dan Kaironnisam Sahabudin Hussain (UPB-MyTeam).

Duo ini dipilih bagi menguatkan jentera pertahanan berikutan lawan dalam kumpulan semuanya heavyweight iaitu, Oman, China dan Iraq. Norhafiz dilantik sebagai kapten pasukan.

Pemain ketiga yang terpilih ialah Mohammad Hardi Jaafar (Telekom Melaka FC) yang berperanan sebagai arkitek pasukan.

Kedua-dua gol Malaysia dalam kejohanan ini dijaringkan oleh beliau iaitu masing-masing tewas 1-3, kepada Oman dan ledakan sepakan percuma luar kotak penalti ketika bertemu China.

GUANGZHOU 2010

Malaysia tersingkir di pusingan kedua setelah tewas kepada Iran 1-3.

Dek ketiadaan pasangan kembar Abdul Razak, Zaquan Adha dan Aidil Zafuan akibat kecederaan, Jurulatih K.Rajagopal membuat keputusan memanggil pemain senior bagi menggantikan tempat mereka iaitu Norshahrul Idhlan Talaha (Kelantan) dan Norhafiz Zamani Misbah (KL Plus).

Pemain terakhir ialah sayap lincah Negeri Sembilan, S.Kunalan. Norhafiz sekali lagi dilantik sebagai kapten pasukan buat kali kedua berturut-turut.

Walaubagaimanapun, penampilan kali ini menyaksikan beliau hanya sempat berada di atas padang selama 70 minit sahaja dan terpaksa dikeluarkan kerana kecederaan ketika perlawanan pertama bertemu Kyrgyzstan.

Dalam kejohanan kali ini, Malaysia berjaya menjaringkan 3 gol, 2 daripadanya jaringan dari Norshahrul.

Manakala S.Kunalan pula dilayangkan kad merah ketika perlawanan terakhir peringkat kumpulan bertemu tuan rumah, China.

INCHEON 2014

Malaysia tersingkir di peringkat kumpulan dengan tewas 2 kali dan menang sekali.

Jurulatih, Datuk Ong Kim Swee membuat keputusan untuk memanggil setiap seorang bagi posisi pertahanan, tengah dan penyerang.

5 orang pemain yang berada dalam senarai pendek ialah Aidil Zafuan Abdul Razak (JDT), Brendan Gan (Kelantan), Bobby Gonzales (PDRM), S.Subramaniam (JDT) dan Mohd Norfarhan Muhammad (Terengganu).

Akhirnya OKS membuat keputusan menyenaraikan Aidil (dilantik sebagai kapten pasukan), Brendan dan Norfarhan.

Dalam kejohanan ini, Malaysia berjaya menghasilkan 4 gol iaitu kemenangan 4-0 ke atas Laos. 2 gol dijaringkan oleh Aidil dan Norfarhan.

PENUTUP

Kemasukan pemain senior ternyata memberi impak positif kepada pasukan walaupun kita terkandas di peringkat kumpulan (kecuali Guangzhou 2010).

Selain dilantik sebagai kapten yang membimbing adik-adik, mereka berjaya menyumbangkan 9 gol daripada keseluruhan 12 jaringan.

Dalam laporan Berita Harian 16 April 2018, OKS menyatakan hasrat memanggil 3 orang pemain yang senior meskipun berdepan kesukaran untuk mendapatkan pelepasan dari majikan masing-masing berikutan Liga Malaysia tetap berjalan seperti biasa ketika Sukan Asia 2018 di Jakarta dan Palembang dilangsungkan pada 16 Ogos hingga 2 September nanti.

Tambahan pula, Sukan Asia bukan di bawah kalendar FIFA sekaligus tiada kewajipan untuk negeri atau kelab melepaskan pemain-pemain mereka.

Jika penulis diberi peluang bagi memilih pemain senior bagi Sukan Asia 2018, antara pemain-pemain yang berada dalam radar ialah, Shahrul Saad (Perak), Aidil Zafuan Abdul Razak (JDT), Wan Zack Haikal Wan Noor (Felda United), Shahrel Fikri Fauzi (PKNP FC), dan Zaquan Adha Abdul Razak (Kuala Lumpur).

Bagaimana pula dengan pilihan para pembaca? Kongsikan pilihan anda di ruangan komen.

Nota editor: Artikel ini merupakan hasil kiriman pembaca kami yang bernama Mohd Farid Bin Azmi. Jika anda mahu tulisan anda dibaca oleh jutaan rakyat Malaysia, hantar artikel 300 patah perkataan anda dalam format MS Word ke [email protected] .

Kredit Foto: AFP

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN