Santiago Solari akhirnya disahkan sebagai pengurus Real Madrid setelah bersetuju dengan kontrak yang akan menjadikan beliau pengendali tetap kelab tersebut sehingga 2021.
Bekas pemain sayap itu sebelum ini dilantik sebagai pengurus interim kelab tersebut untuk menggantikan Julen Lopetegui yang dipecat dari jawatannya pada penghujung Oktober lalu.
Peningkatan prestasi Real Madrid
Sejak mengendalikan skuad Los Blancos, jurulatih berusia 42 tahun itu telah berjaya mengekalkan rekod 100% kemenangan dalam empat perlawanan- rekod terbaik oleh seseorang pengurus di dalam sejarah Real Madrid.
Empat kemenangan yang dicapai oleh juara eropah tiga musim berturut-turut itu ketika di bawah kendalian Solari ialah ketika menentang Melilla di pertandingan Copa del Rey, Viktoria Plzex di pertandingan UEFA Champions League, dan ketika menentang Real Valladolid dan Celta Vigo di saingan La Liga.
Sepanjang empat perlawanan tersebut, Real Madrid juga telah menjaringkan 15 gol dan dibolosi hanya dua kali.
Kedudukan La Liga Real Madrid turut merekodkan peningkatan sejak skuad Los Blancos itu diterajui oleh Solari. Sebelum beliau mengambil alih peranan pengurus daripada Lopetegui, Real Madrid berada di kedudukan ke-9.
Dua kemenangan di saingan La Liga menyaksikan mereka kini menduduki tangga ke-6, dan dibezakan hanya dengan empat mata dengan pendahulu, Barcelona.
Usah berlengah
Real Madrid tidak boleh melengahkan perlantikan pengurus disebabkan peraturan di La Liga yang tidak membenarkan jawatan tersebut diisi oleh pengendali interim mengendalikan sesebuah paukan melebihi tempoh dua minggu.
Disebabkan itu, kelab tersebut harus melantik Solari-atau mana-mana pengurus lain-di dalam tempoh dua minggu selepas pemecatan Lopetegui.
Perlantikan Solari secara tetap sebagai pengurus disahkan oleh Real Madrid sendiri melalui satu kenyataan yang dimuat naik ke laman sesawang rasmi kelab.