Real Madrid akhirnya berjaya mencatatkan kemenangan sulung dalam saingan La Liga di gelanggang sendiri apabila menundukkan Espanyol 2-0 dalam perlawanan yang berlangsung di Santiago Bernabeu pagi tadi.
Dua jaringan yang dihasilkan oleh pemain antarabangsa Sepanyol, Isco sudah cukup untuk memberikan kelegaan buat penyokong Real Madrid atas kejayaan memperoleh tiga mata penuh di laman sendiri.
Real Madrid tidak menunggu lama bagi mengancam pintu gol Espanyol apabila hantaran jauh yang dilakukan Sergio Ramos tepat menemui Isco yang meluru untuk melakukan percubaan, namun penjaga gol, Pau Lopez lebih pantas untuk menafikan percubaan tersebut.
Isco kemudiannya meledakkan satu percubaan dari luar kotak penalti tetapi percubaan tersebut ditangkap kemas Lopez.
Aksi pada babak pertama didominasi Real Madrid dengan beberapa percubaan yang dilakukan yang memaksa Pau Lopez dan barisan pertahanan pelawat bekerja keras pada perlawanan ini.
Gol yang dinantikan penyokong tuan rumah hadir pada minit ke-30 setelah Isco yang mendapat lorongan cantik dari Cristiano Ronaldo, berjaya melakukan percubaan menggunakan hujung kaki yang menewaskan Lopez untuk gol pertama Madrid.
Peluang terbaik Espanyol pula menjelma pada minit ke-44 apabila rembatan kaki kiri yang dilakukan Gerard Moreno hanya singgah di tiang gol yang dikawal Keylor Navas.
Memasuki babak kedua, pemain gantian Espanyol, Marc Navarro turut menguji ketangkasan Navas apabila beliau yang tidak dikawal melakukan ledakan yang berjaya dihalang Navas.
Isco berjaya menambah jaringan pada minit ke-70 untuk mengesahkan jaringan 2-0 memihak Real Madrid untuk mencatatkan kemenangan ke-4 selepas beraksi 7 perlawanan.
Madrid kini berada ditangga ke-5 liga dengan mencatatkan 14 mata, ketinggalan 7 mata dibelakang Barcelona yang kini memimpin La Liga setelah merakam kemenangan bersih semua perlawanan.