Real Madrid diundi berhadapan dengan juara bertahan Barcelona, dalam aksi separuh akhir Copa Del Rey. Undian tersebut dilangsungkan pada Jumaat.
Ini bermakna, ada 2 el clasico dalam masa seminggu kerana perlawanan kedua adalah pada minggu terakhir Februari – disusuli perlawanan liga melibatkan Real Madrid dan Barca pada 2 Mac di Santiago Bernabeu.
Pusingan pertama separuh akhir Copa Del Rey dilangsungkan di Nou Camp. Dalam satu lagi perlawanan, Real Betis akan berhadapan dengan Valencia.
Barcelona kini 10 mata di atas Real Madrid dalam La Liga. Barcelona dalam prestasi terbaik ketika ini dengan memenangi 6 daripada 7 perlawanan.
Pengarah Barcelona Guillermo Amor tidak mahu menerima label pasukan pilihan diletakkan media kepada Barcelona. Ini kerana menurut beliau, Real Madrid juga dalam prestasi terbaik.
Beliau menegaskan: “Real Madrid bermain dengan baik dan mereka sentiasa pasukan Madrid yang kami kenal. Sebuah pasukan yang terdiri daripada sekumpulan pemenang yang mahu bertarung untuk apa sahaja. Itu yang membuatkan kami gerun jika kami tak cukup bersedia.”
Pengarah Real Madrid pula menyatakan el clasico sentiasa tiada tandingannya. Beliau juga menyatakan: “Ini adalah pertarungan 2 pasukan yang penuh dengan bakat, dengan pemain luar biasa dan kita sentiasa menjangkakan perlawanan sengit.”
“Kami percaya dengan para pemain kami. Dan jelas sekali el clasico antara perlawanan terhebat di dalam dunia bola sepak hari ini.”
Barcelona mahu menjuarai Copa Del Rey kali ke-5 berturut-turut. Sementara itu Real Madrid layak ke separuh akhir pertama kali sejak 2014.
Selain daripada ujian 2 el clasico dalam tempoh seminggu – Real Madrid juga akan berhadapan dengan Atletico dalam derbi – dan menentang Ajax dalam pusingan 16 terakhir UCL.
Santiago Solari yakin pasukannya akan dapat mengatasi Barcelona dan mara ke final Copa Del Rey.