Previu MSL2019: PKNP dan Kedah Buat Perhitungan Falsafah ‘Counter Attack’

Aidil Sharin Kedah PKNP

Kedah akan turun dengan nafas baharu ke Stadium MP Manjung menentang PKNP FC dalam misi mahu memulakan langkah kanan dalam saingan Liga Super Malaysia (MSL) 2019.

Perlawanan malam ini juga adalah perlawanan pertama Aidil Sharin dalam kancah saingan Liga Malaysia dan pastinya ada sesuatu yang ingin digapainya. Keputusan di wisel penamat dan gaya permainan Kedah akan menjadi fokus utamanya.

Sementara bagi pengendali PKNP FC, Abu Bakar Fadzim, beliau mahukan permulaan yang baik walaupun sedar jentera serangan Kedah pada musim ini tampak hadir dengan lebih berbahaya dengan duo baharu, Jonathan Bauman dan Fernando Rodriguez.

PKNP FC

Berjaya kekal di saingan MSL 2019 adalah satu pencapaian yang baik buat pasukan yang menurut kata Abu Bakar – kelab bajet rendah. PKNP FC menamatkan musim lalu di kedudukan ke-9 liga dengan kekangan kewangan dan juga barisan pemain ‘biasa-biasa’.

Semi finalis Piala FA 2018 ini sekali lagi akan beraksi tanpa bintang di posisi serangan, Shahrel Fikri yang akan bersama Perak sepanjang musim ini. Musim lalu, mereka melepaskan Shahrel untuk dipinjamkan ke kelab Thai League 1, Nakhon Ratchasima FC.

Kehadiran beberapa muka baharu seperti Hafiz Kamal, Fazrul Hazli dan pemain import berkualiti seperti Yashir Pinto mungkin akan mengukuhkan pasukan ini. Abu Bakar juga sangat terkenal dengan kebolehannya mendapatkan sesuatu daripada pemain ‘tiada nama’.

Pemain tengah kreatif, Yashir Pinto dijangka menjadi fokal utama serangan PKNP pada musim ini. (Foto: PKNP FC)

Kedah

DNA dan falsafah baharu menjadi tajuk utama buat Helang Merah sejak pelantikan Aidil Sharin ke kerusi panas pengendali Kedah. Selama ini, Kedah sudah biasa dengan gaya permainan hantaran pendek ala-ala tiki taka yang diperturunkan oleh Tan Cheng Hoe.

Kedah juga akan turun dengan barisan pemain import baharu apabila melepaskan Liridon Krasniqi, Sandro, Alvaro Silva, Andik Vermansyah dan juga Paulo Rangel – satu tindakan yang sangat vokal dan berani daripada pihak pengurusan Kedah.

Jonathan Bauman merupakan pemain import kelima Kedah musim ini. (Foto: Kedah FA)

Kehadiran Aidil Sharin dan pemergian bintang-bintang import adalah bertepatan kerana Kedah akan bermain dengan sistem baharu. Namun, diharapkan penyokong Hijau Kuning dapat memberikannya sedikit masa untuk ‘mempasak’ sistem tersebut.

Pemain tumpuan

Dijangkakan pemain tengah skuad kebangsaan Palestin, Yashir Pinto akan menjadi sandaran utama Abu Bakar dalam misi untuk membuat kejutan ke atas juara tiga kali MSL, Kedah. Pengalaman di saingan Liga M selama dua musim pada 2016 dan 2017 juga akan memudahkannya untuk menyesuaikan diri.

Selain menghadapi masalah serius di jentera serangan, PKNP FC juga dilihat kekurangan daya kreatif di jentera tengah pada musim lalu dan ini dijangka dapat diselesaikan dengan kehadiran pemain berusia 27 tahun ini pada musim 2019 ini.

Sementara Kedah pula pastinya akan menyandarkan harapan kepada penyerang, Fernando Rodriguez yang memiliki sentuhan penyudah yang baik. Sepanjang kariernya, beliau sangat ‘mesra’ gol – musim lalu meledak 15 gol bersama Mitra Kukar di Indonesia.

Bergandingan bersama seorang lagi pemain yang beraksi di Liga Indonesia, Jonathan Bauman dan juga kapten skuad kebangsaan, Zaquan Adha, mungkin akan memudahkan tugasannya untuk memburu gol pertama di kancah Liga M.

Berita pasukan

Sehingga kini, kedua-dua pasukan dikhabarkan tidak berdepan dengan sebarang masalah untuk menurunkan barisan terbaik mereka. Ini bakal menjanjikan satu perlawanan yang menarik.

Pra musim yang dilalui oleh kedua-dua pasukan juga tampak lancar dengan PKNP FC berjaya meraih 5 kemenangan daripada 9 aksi, sementara Kedah pula menang 5 daripada 8 aksi – paling menarik apabila menewaskan Perak dan Home United.

PKNP FC yang seringkali berpindah randah, akhirnya merasakan Manjung adalah ‘rumah’ yang tepat buat mereka – kembali semula ke Perak setelah semusim beraksi di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang. Bagi mereka, ini barulah dikatakan ‘halaman sendiri’.

Penyokong juga dijangkakan akan memenuhi stadium berkapasiti 15,000 penonton itu selepas sambutan baik ketika sesi pengenalan jersi tempohari dihadiri kira-kira 4000 orang – sesuatu yang lebih baik berbanding beraksi tanpa penyokong di Batu Kawan.

Taktikal pasukan

Selaku tuan rumah dan beraksi buat pertama kali di hadapan penyokong sendiri, PKNP FC dijangka bakal menampilkan aksi yang lebih tersusun dalam usaha mahu memikat warga Manjung dan sekitarnya agar setia untuk turun menyokong pasukan.

Abu Bakar adalah penggemar kepada sistem counter attack dan pastinya akan menggunakan Yashir Pinto sebagai enjin kreatif untuk menjana serangan. Selain itu, inspirasi kapten, Hafiz Ramdan juga boleh membantu penyerang mereka, Kalidou Yero.

Menambah kerancakan, Aidil Sharin juga adalah jurulatih yang gemarkan gaya permainan counter attack dan ini mungkin menjanjikan satu pertembungan yang menarik – siapa lebih baik?

Dalam posting di laman Instagramnya tempohari, jurulatih berasal daripada Kota Singa itu meletakkan tanda pagar #nomoretikitaka dan #fastcounterattackingfootball.

Perubahan posisi kapten, Baddrol Bakhtiar juga dirasakan bakal berlaku apabila dia dilihat kerap diturunkan di posisi tengah. Adakah kita akan melihat gandingan Baddrol bersama bintang muda meningkat naik, Fadzrul Danel?

Penutup

Pada malam ini, penyokong Kedah akan dihidangkan dengan gaya permainan baharu sementara PKNP FC pula akan cuba memikat warga Manjung dan sekitarnya untuk sentiasa turun memenuhi stadium sepanjang saingan Liga M berlangsung.

Dalam pertembungan dua tahun terkini, kedua-dua pasukan seimbang dengan merekodkan dua kemenangan dalam empat perlawanan. Tiada yang lebih dominan antara satu sama lain.

Selain itu, pertembungan falfasah yang mungkin hampir sama bakal menjadi satu tarikan dan sangat menarik di antara kedua-dua jurulatih ini. Siapa bakal bergelar pemenang dalam pertembungan malam ini – percaturan siapa lebih ampuh?

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN