Dengan deretan nama bintang yang menjadi duta kepada produk terkenal, siapa sangka bintang-bintang Real Madrid dan Bayern Munich masih berbangga untuk mengenakan persalinan yang berasaskan sisa lautan ini.
Ia adalah sebahagian daripada projek kerjasama Adidas dengan Parley dalam projek Parley For The Ocean. Parley adalah sebuah organisasi yang aktif dalam usaha memberikan kesedaran kepada dunia tentang pentingnya kebersihan lautan.
Jersi ini diperbuat daripada bahan kitar semula daripada pencemaran plastik marin yang dikutip sepanjang operasi pembersihan sekitar pantai Maldives oleh Parley.
Kedua-dua kelab dan Adidas bersetuju supaya logo mereka tidak dapat dilihat untuk memastikan sebagai sokongan kepada sifat mesra alam.
Bintang Bayern Munich yang juga bekas bintang Real Madrid, Xabi Alonso berkata:
“Ia adalah satu penghormatan untuk terlibat sama dalam perjalanan (journey) ini dengan Adidas serta berpeluang untuk memakai kit adidas X Parley buat pertama kali di dalam padang,”
“Dengan setiap nafas yang kita hembus ianya datang dari lautan kita, ia benar-benar penting untuk kita cuba melakukan apa yang termampu untuk kita melindunginya.”
“Saya gembira untuk memakai kit yang diperbuat daripada sisa lautan dikitar semula kerana ia adalah satu peluang yang terbaik untuk meningkatkan kesedaran mengenai keperluan untuk melindungi dan memelihara lautan kita.”
“Saya tahu ini adalah permulaan sesuatu yang sangat istimewa.”
Mesej pada kolar baju akan tertulis “For The Ocean (Demi Lautan)” akan digunakan pertama kalinya oleh Bayern Munich dalam perlawanan menentang Hoffenheim pada hari ini.
Real Madrid pula akan memakai jersi ini pada 26 November akan datang menentang Sporting Gijon, dan pemain pertahanan Brazil, Marcelo sangat berbesar hati untuk terlibat dengan projek ini.
“Lautan adalah sesuatu yang saya sentiasa dekat di hati saya kerana saya membesar di Rio de Janeiro, dan saya mempunyai banyak kenangan bermain di pantai sewaktu usia kanak-kanak,” kata pemain berusia 28 tahun itu.
“Sangat teruja untuk menjadi sebahagian daripada projek ini dan mendapat tahu kelab yang saya sayangi (Real Madrid) cuba melakukan sesuatu berbeza dalam memastikan luatan kekal bersih.”
Pihak Parley mengharapkan akan lebih banyak usahasama dengan kelab-kelab bola sepak ternama dalam kempen kesedaran ini pada masa akan datang.
Baca juga : Mesej Tersembunyi Dalam Iklan Adidas Yang Menampilkan Suarez, Benzema dan James Rodriguez