RB Leipzig melakarkan sejarah buat pertama kali layak ke peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) selepas berjaya menundukkan Atletico Madrid 2-1 pada aksi suku akhir yang berlangsung di Estadio Jose Alvalade, sebentar tadi.
Keputusan ini nyata mengecewakan Atletico Madrid berikutan impian besar mereka untuk menjulang trofi liga paling berprestij di Eropah itu. Tetapi di kem RB Leipzig pula, ia merupakan pencapaian yang cukup hebat buat pengendali muda, Julian Nagelsmann.
Atletico Madrid yang menyingkirkan juara bertahan, Liverpool pada peringkat 16 mendapat dua peluang terbaik bagi membuka tirai jaringan pada separuh masa pertama.
Tetapi tandukan Stefan Savic pada minit ke-10 dan rembatan padu dalam kawasan penalti yang diledakkan Yannick Carrasco berjaya dinafikan penjaga gol RB Leipzig, Peter Gulacsi.
Selepas itu, serangan yang cuba dilancarkan jentera serangan kedua-dua pasukan dilihat tidak begitu berkesan menyebabkan tiada percubaan tepat dihasilkan kecuali tandukan pemain pertahanan, Dayot Upamecano hasil sepakan percuma, ditangkap kemas Jan Oblak di gawang Atletico Madrid pada masa kecederaan separuh masa pertama.
Bagaikan mendapat tonik yang cukup berguna di bilik persalinan, skuad bimbingan Julian Nagelsmann itu memperolehi jaringan pendahuluan menerusi Dani Olmo pada minit ke-50.
Pemain kelahiran Terrassa, Sepanyol itu dengan tenang menanduk masuk bola hasil hantaran lintang dilakukan Marcel Sabitzer untuk memberikan kelebihan buat wakil Bundesliga itu.
Berselang 21 minit kemudian, Atletico Madrid kedudukan kembali terikat apabila Joao Felix menyempurnakan sepakan penalti susulan kekasaran pemain pertahanan, Lukas Klostermann terhadap pemain muda berbakat besar tersebut dalam kawasan penalti.
Ketika aksi sebenar perlawanan hanya berbaki dua minit, Tyler Adams menghadiahkan kemenangan bermakna buat RB Leipzig apabila rembatannya yang terbias mengenai pemain pertahanan telah mengelirukan Oblak sekaligus menerjah gawang Atletico Madrid.
Lebih menarik, jaringan tersebut merupakan gol sulung dihasilkan oleh Adams selepas dua musim menyarung jersi RB Leipzig.
Sedar masa kian suntuk, anak buah Diego Simeone bekerja keras dengan menggandakan asakan bagi memburu jaringan penyamaan pada masa kecederaan tetapi usaha mereka tidak membuahkan hasil dan terpaksa melangkah keluar daripada stadium dengan penuh kekecewaan.
Kemenangan yang cukup bermakna itu menyaksikan RB Leipzig bakal menanti cabaran hebat dari Paris Saint-Germain (PSG) pada perlawanan separuh akhir, 18 Ogos nanti.
Kredit featured image: RB Leipzig