Bekas pemain bola sepak Harimau Malaya, Razman Roslan enggan melihat kejurulatihan kebangsaan membuat eksperimen untuk aksi Kelayakan Piala Dunia 2026 seterusnya menentang Oman.
Terdahulu, Malaysia boleh dianggap berada pada landasan terbaik untuk mencipta kejutan ke pusingan ketiga saingan tersebut apabila kini mereka mendahului carta Kumpulan D hasil dua kemenangan berturut-turut.
Dua kemenangan ketika menentang Kyrgyzstan dan Taiwan dilihat sebagai peluang terbaik buat pasukan kebangsaan untuk terus mengutip tiga mata seterusnya pula menentang Oman.
Walaupun begitu, ianya dianggap sesuatu tidak mudah buat Malaysia kerana Oman jelas kini lebih baik daripada segi kedudukan ranking serta prestasi.
Disebabkan itu Razman mahu Malaysia untuk elakkan mencipta sebarang eksperimen taktikal atau kesebelasan utama yang mampu mengganggu rentak permainan di atas padang.
Malah, beliau juga mengambil contoh aksi terbaik Malaysia ketika menentang Korea Selatan ketika saingan Piala Asia 2023 lalu sebagai contoh untuk mereka mengekalkannya pada saingan akan datang.
Ujar bekas pertahanan kental itu, hasil keputusan seri ketika menentang Korea Selatan lalu jelas menunjukkan Harimau Malaya sebenarnya mampu bersaing dengan negara di kedudukan ranking lebih tinggi.
“Apa yang kita pamerkan ketika menentang Korea Selatan perlu diterjemahkan untuk perlawanan akan datang.
“Harapan saya, tak ada lagi kita kata macam eksperimen sebab apabila beraksi di peringkat tertinggi, sedikit kesilapan memang akan menghukum pasukan.
“Selepas ini kita akan mengharungi aksi kelayakan Piala Dunia dan kita sasar untuk kembali ke Piala Asia. Jadi, persiapan dari sekarang sangat penting,” katanya menerusi laporan Berita Harian.
Pada masa sama, Razman turut menyatakan Harimau Malaya perlu mengambil peluang mencipta kejutan mengatasi Oman meski pun beraksi di gelanggang pasukan lawan.
Ini kerana Oman baru sahaja menggantikan jurulatih baharu iaitu Jaroslav Silhavy, selepas mereka memecat Branko Ivankovic yang tampil tidak memberansangkan ketika saingan Piala Asia 2023.
“Dari segi motivasi kita lebih dari Oman, mereka juga tak layak ke pusingan kedua Piala Asia dan kita dengar mereka pecat jurulatih.
“Jadi kita kena gunakan kesempatan atau kelebihan daripada ketidakstabilan pasukan itu sendiri untuk kita mendapatkan keputusan positif sebab kita sudah buktikan lawan Korea Selatan yang kita boleh.
“Memang ranking Oman lebih tinggi, mungkin kita pergi sana boleh seri dan balik (beraksi) di sini (tempat sendiri) kita menang.
“Jika keputusan itu dapat dicapai, ia satu keputusan yang amat baik untuk pasukan kebangsaan,” katanya akhir sekali mengenai perjalanan Harimau Malaya dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2026.