Juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) terus menjarakkan mata dengan pencabar terdekat, Pahang dalam kedudukan Liga Super apabila mudah menewaskan Selangor 2-0 di Stadium Larkin, semalam.
Jaringan daripada 2 bekas pemain Selangor, Hazwan Bakri dan Nazmi Faiz memastikan skuad Harimau Selatan itu mendahului carta liga super dengan 4 mata di belakang Pahang.
Pengendali JDT, Raul Longhi melahirkan kegembiraan beliau dengan prestasi pemainnya dan berharap pasukannya terus konsisten mencatat kemenangan selepas ini.
“Saya sangat gembira dengan aksi permainan yang dipamerkan oleh para pemain pada perlawanan malam tadi. Mereka telah memberikan seratus peratus komitmen dan berusaha untuk memenangi perlawanan ini.
“Namun bagi saya, aksi pada separuh masa kedua lebih menggembirakan saya kerana corak permainan mereka yang amat baik sehingga mampu menjaringkan gol.
“Sekiranya para pemain terus bermain dengan mentaliti seperti ini, banyak lagi jaringan dapat dihasilkan,” katanya seperti dipetik dalam laman JOHOR Southern Tigers.
Beliau juga mengakui pasukannya melakukan sedikit kesilapan pada separuh masa pertama sehingga gagal menjaringkan gol.
“Pada separuh masa pertama kami ada melakukan beberapa kesilapan dan mengalami sedikit masalah. Namun para pemain telah memperbaiki kesilapan itu pada separuh masa kedua.
“Apa yang penting adalah para penyerang, pemain tengah dan pertahanan telah menjalankan tanggungjawab masing-masing dengan baik.
“Memenangi tiga mata pada perlawanan ini adalah amat penting bagi kami kerana pasukan Pahang berjaya merapatkan kedudukan dengan kami dengan kemenangan mereka. Oleh itu kemenangan dalam perlawanan ini sememangnya amat penting dan membantu menjarakkan lagi kedudukan kami,” katanya.