Penyerang Wolverhampton Wanderers (Wolves), Raul Jimenez mengakui dirinya gembira untuk terus berada di Stadium Molineux walaupun dua kelab gergasi bola sepak Eropah, Manchester United dan Juventus berminat untuk mendapatkan khidmatnya pada jendela perpindahan lalu.
Jimenez yang merupakan sandaran utama di jentera serangan Wolves telah menarik minat Ole Gunnar Solskjaer untuk membawanya ke Old Trafford selepas beliau meledak 27 jaringan dalam semua kejohanan disertai pada musim lalu.
Minat yang ditunjukkan oleh Manchester United dan Juventus itu diakui sendiri oleh penyerang skuad kebangsaan Mexico itu menurut laporan dikeluarkan oleh Goal.
Ia tidak membuatkan Jimenez ‘gelap mata’ tetapi beliau sebaliknya memilih untuk kekal apabila telah memeterai kontrak lanjutan selama tiga tahun setengah bersama skuad kendalian Nuno Espirito Santo tersebut.
”Pada satu hari apabila saya bangun dari tidur dan Juventus dikatakan mahukan khidmat saya. Sebuah lagi pasukan ialah Manchester United dan saya tahu bahawa ada tawaran yang dibuat.”
”Tetapi tiada kata putus dapat dicapai dan tidak ada penyelesaian positif. Saya sangat gembira untuk terus berada di Wolves.”
”Yang sebenarnya saya sangat gembira di Wolverhampton. Tidak salah untuk saya berada di tempat yang cukup baik tetapi saya masih tidak berpuas hati [dengan corak persembahan], saya sentiasa mengharapkan sesuatu yang lebih baik.”
”Perpindahan itu tidak berlaku pada ketika ini. Sekiranya ia berlaku pada satu ketika, ia akan menjadi sesuatu yang terbaik buat saya, untuk Wolves dan mana-mana pasukan yang saya sertai.”
”Tetapi saya sangat gembira di Wolves dan dianggap sebagai pemain yang sangat penting,” ujar Jimenez.
Kredit featured image: Simon Stacpoole/Offside/Getty Images
Baca artikel lain dari kami mengenai Raul Jimenez:
Gundogan: Raul Jimenez Miliki Apa Diperlukan Penyerang Berkelas Dunia
Capello: Raul Jimenez Mampu Jadi ‘Benzema’ Buat Ronaldo Di Juventus