Pasukan Liga Super, Penang telah mengesahkan pelantikan jurulatih baharu mereka iaitu Zainal Abidin Hassan bagi menggantikan Thomas Trucha.
Zainal yang sebelum ini bersama-sama Melaka United, kini kembali semula ke pangkuan Penang dalam misi untuk menyelamatkan kelab itu dari tersungkur ke Liga Premier musim hadapan.
Dalam siaran media yang dikeluarkan oleh Penang, pemilihan Zainal adalah disebabkan oleh faktor positif yang boleh dibawanya di luar padang selain kualiti sebagai jurulatih.
“Kepercayaan yang diberikan bukan semata-mata atas ciri-ciri jenis dan corak permainan, taktikal dan kecergasan, malah mengambil kira segala faktor luar dan dalam padang yang boleh menjadi pengaruh yang positif untuk kebangkitan semula ini,” kata Penang di Facebook mereka.
Selain tugas untuk memastikan Penang kembali teguh dalam saingan Liga Super, Zainal juga diharap akan menjadi jambatan kepada keharmonian pasukan.
Beliau diharapkan agar dapat memastikan hubungan Penang dengan pihak-pihak lain akan terus baik selepas ini.
“Zainal Abidin Hassan juga diharapkan dapat mengekalkan perhubungan mesra yang terjalin dengan semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam penganjuran sukan rakyat yang paling berprestij ini.”
Tugas berat menanti
Tidak dapat dinafikan lagi, tugas berat menanti Zainal untuk mengubah nasib Penang yang kini sedang terperangkap di bahagian terbawah liga.
Untuk rekod, Penang kini hanya mengutip tiga mata hasil tiga keputusan seri dan lima kekalahan.
Rekod ini cukup menggusarkan memandangkan mereka sudah bermain lapan perlawanan sedangkan pasukan-pasukan yang bermain lebih sikit perlawanan berbanding mereka mempunyai kutipan mata lebih banyak.
Antaranya Sabah yang kini menduduki tangga kedua liga dengan 15 mata (dari tujuh perlawanan) serta Selangor memperoleh lapan mata walapun beraksi cuma lima kali sahaja setakat ini.
Tugas getir menanti Zainal yang kembali ke Penang buat kali kedua sebagai jurulatih untuk membersihkan reputasi cemerlang Penang musim lalu yang menduduki kedudukan tiga terbaik liga.
Mampukah Zainal melakukannya? Hanya masa mampu menjelaskannya.