Kelab Bola Sepak Selangor (Selangor FC) bakal diperkuatkan dengan kehadiran peledak berbisa baharu apabila mengumumkan kehadiran bekas penyerang Perak, Muhammad Shahrel Fikri Md. Fauzi menyertai kelab tersebut, sebentar tadi.
Shahrel hadir ke Selangor dengan reputasi besar setelah beliau bergelar penjaring kedua terbanyak dalam saingan Liga Super 2020 dengan 10 gol, hanya dua gol ketinggalan di belakang penjaring terbanyak, Ifedayo Olusegun.
Ini juga bermakna kedua-dua pemain tersebut bakal membentuk gandingan mantap di jentera serangan dalam usaha membawa cabaran Selangor pada musim hadapan. Perkembangan terbaharu kehadiran penyerang berusia 27 tahun itu ke Selangor FC diumumkan laman sesawang rasmi kelab tersebut.
Selain menabur bakti selama dua musim bersama Perak, Shahrel juga sebelum ini pernah berkelana ke Thailand untuk menyarung jersi Nakhon Ratchasima ketika namanya mula melonjak naik di Kelab Bolasepak Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC).
Di pentas antarabangsa pula, beliau telah membuat 14 penampilan dan berjaya menjaringkan lima gol ketika menggalas tanggungjawab bersama skuad kebangsaan.
Bercakap kepada media Selangor FC, Shahrel mengakui tidak sabar untuk menikmati sesuatu yang dianggap baharu dalam karier profesionalnya selepas ini.
“Saya berterima kasih kepada penyokong dan pengurusan pasukan Perak atas segalanya. Menyertai Selangor akan membuka lembaran baru dalam karier saya dan saya tidak sabar untuk memulakan perjalanan baharu saya bersama pasukan Gergasi Merah.”
“Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk berterima kasih kepada pengurusan Selangor FC, terutamanya kepada Raja Muda Selangor, DYTM Tengku Amir Shah atas ruang dan peluang yang diberikan. Saya harap penyokong Selangor akan mengalu-alukan kedatangan saya ke Shah Alam.”
Kredit featured image: Selangor FC
Baca artikel lain dari kami mengenai Shahrel Fikri:
Selangor Semakin Hampir Muktamadkan Shahrel Fikri, Nik Sharif Haseefy