RASMI: Selepas Pereira, Diogo Dalot Pula Dipinjamkan Ke Kelab Itali

Diogo Dalot AC Milan Itali

Pemain bek kanan Manchester United, Diogo Dalot telah sah menyertai kelab Itali, AC Milan secara pinjaman sehingga penghujung musim ini, namun tiada sebarang klausa pembelian tetap.

Pemain Portugal berusia 21 tahun itu agak bergelut untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama pasukan terutamanya sejak ketibaan Aaron Wan-Bissaka dari Crystal Palace pada Jun 2019.

Dalot menyertai United dari Porto pada Jun 2018 dengan yuran perpindahan sebanyak £19 juta sewaktu Jose Mourinho menjadi pengurus. Ia menjadikan beliau antara pemain remaja termahal dalam sejarah Liga Perdana Inggeris.

“Semua pihak di United mengucapkan semoga berjaya buat Dalot untuk tempoh pinjamannya di Itali,” ujar United dalam kenyataan media dalam laman web rasmi.

Setakat ini Dalot telah membuat 35 penampilan dalam semua pertandingan termasuk ketika membantu United meraih kemenangan 3-0 ke atas Brighton dalam saingan Piala Carabao pada Rabu lalu.

Sebelum ini, pemain tengah Andreas Pereira juga telah melengkapkan perpindahannya ke kelab Serie A Lazio secara pinjaman selama semusim. Seorang lagi pemain yang sedang diburu kelab Itali adalah Chris Smalling yang masih mununggu untuk melengkapkan perpindahan secara tetap ke AS Roma.

Selain itu, Romelu Lukaku, Alexis Sanchez dan Ashley Young juga telah berhijrah Inter Milan sementara Matteo Darmian pula telah menyertai Parma pada musim lepas.

Kini semua pihak sedang menunggu pengumuman rasmi mengenai penyertaan penyerang veteren Edinson Cavani yang dilaporkan telah bersetuju untuk menyertai United dengan kontrak dua tahun.

Kredit Foto: AC Milan

Baca juga artikel kami yang lain mengenai Manchester United:

Leave a Reply