Kini, semuanya telah menjadi sah.
Pasukan Melaka United telah mendapatkan bekas pemain Kedah iaitu Liridon Krasniqi untuk saingan Liga Super pada 2019 ini.
Perpindahan ini telah disebut-sebut akan menjadi kenyataan selepas tersebarnya gambar pemain tersebut menjalani latihan bersama-sama pasukan tersebut baru-baru ini.
Pengesahan Liridon Krasniqi sebagai pemain baharu Melaka United itu dilakukan dalam satu majlis ringkas menandatangani para pemain import baharu pasukan tersebut.
Ianya diadakan di Seri Negeri, Ayer Keroh yang turut disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook Melaka United.
Dalam masa yang sama, mereka turut memperkenalkan pemain import yang lain yang bakal memperkuatkan saingan Melaka United musim ini.
Bekas pemain Kuala Lumpur iaitu Casagrande turut diberikan mandat untuk mengetuai jentera serangan Melaka United pada musim ini.
Beliau yang juga merupakan bekas pemain Felcra FC nyata menarik perhatian barisan kejurulatihan Melaka United apabila beliau memberikan aksi yang baik dalam siri perlawanan persahabatan pra-musim.
Seorang lagi pemain import yang dibawa masuk ialah Darko Markovic.
Markovic yang berasal dari Montenegro itu merupakan pemain yang berusia 31 tahun dan beraksi di bahagian tengah.
Beliau mempunyai pelbagai pengalaman beraksi dalam kancah bola sepak apabila pernah beraksi di beberapa negara seperti di Bosnia & Herzegovina, Uzbekistan dan juga Hungary.
Melengkapkan kouta pemain import Asia ialah Jang Seok Won dari Korea Selatan.
Pemain yang berusia 29 tahun ini merupakan pemain pertahanan tengah pernah beraksi bersama Seongnam FC dan juga Fagiano Okayama di Jepun.
Melaka United merupakan pasukan baharu beliau selepas tidak mempunyai pasukan selama setahun.