Dari Era Lineker Sehingga Sancho, Ini 5 Pemain Berdarah British Paling Berjaya Di Luar England

Satu ketika dahulu Paul Gascoigne, Ian Rush, Mark Hughes, Ray Wilkins dan Paul Ince adalah antaran pemain kelahiran British yang pernah beraksi bersama pasukan di luar England.

Jadon Sancho, Reiss Nelson, Chima Okoroji, Reo Griffiths, dan Marcus McGuanne – adalah antara bintang-bintang berdarah British yang beraksi di La Liga, Bundesliga, Serie A dan Ligue 1 pada hari ini.

Tidak mudah bagi pemain-pemain ini beraksi di luar negara. Tidak semua juga dianggap berjaya. Berikut adalah antara pemain berdarah British paling berjaya bersama kelab masing-masing di luar England.

Gareth Bale

Bintang dari Wales ini berhijrah dari Tottenham Hotspur untuk menyertai Real Madrid pada hari terakhir jendela perpindahan musim panas 2013. Bale pantas membuatkan kehadiran beliau dirasai dengan jaringan di dalam debut menentang Villarreal. Musim pertama di Sepanyol, Bale menjaringkan 22 gol untuk Real Madrid.

Namun Bale paling diingati kerana penampilan beliau di perlawanan akhir UEFA Champions League. Produk akademi Southampton ini menjaringkan gol kedua ketika Real Madrid menang 4-1 ke atas Atletico Madrid, dan memenangi dua lagi kejuaraan Champions League pada dua musim berikutnya bersama Los Blancos. Anda pasti ingat bagaimana jaringan akrobatik Bale yang menewaskan Loris Karius di perlawanan akhir menentang Liverpool pada musim lalu.

David Beckham

Dianggap legenda di Manchester United, David Beckham berhijrah menyertai Real Madrid pada 2003 dengan kontrak selama empat tahun. Beckham dengan skuad Galatico pada ketika itu memenangi trofi pertama di pertandingan Super Copa Sepanyol menentang RCD Mallorca – dengan jaringan menakjubkan dari Beckham.

Beckham turut bergelar juara La Liga bersama Real Madrid pada 2007 – sebelum sekali lagi berhijrah ke La Galaxy dimana beliau turut muncul juara Piala MLS sebanyak dua kali. Anggota ‘Class of 92’ Manchester United ini turut pernah tampil bersama AC Milan sebelum menjuarai Ligue 1 bersama Paris Saint-Germain pada 2012/13.

Gary Lineker

Selepas aksi cemerlang di Piala Dunia 1986, Gary Lineker berhijrah dari Everton untuk menyertai Barcelona. Penyerang tersebut berjaya menjaringkan 21 gol dari 41 penampilan pada musim pertama di Sepanyol – termasuk hatrik ketika menewaskan Real Madrid 3-2.

Sepanjang beraksi di Sepanyol, Lineker memenangi Copa Del Rey pada 1988 dan juga trofi European Cup Winners’ Cup pada tahun berikutnya. Karier Lineker bersama Barcelona berakhir dengan 103 penampilan di La Liga dan 42 gol.

Chris Waddle

Chris Wadle menyertai Olympique de Marseille pada 1989 dari Tottenham Hotspur dan merupakan pemain ketiga termahal dunia pada ketika itu apabila melibatkan yuran perpindahan bernilai £4.5 juta. Walaupun dengan tag harga yang mahal, Waddle nyata pelaburan yang berbaloi untuk Marseille apabila membantu kelab Perancis itu menjuarai tiga kejuaraan Ligue 1, dan mara sehingga ke perlawanan akhir Piala Eropah, sebelum dinafikan oleh Red Star Belgrade pada 1991.

Waddle menamatkan karier beliau di Perancis dengan menjaringkan 28 gol, dan 107 penampilan Ligue 1 untuk Marseille. Beliau turut digelar sebagai ‘Magic Chris’ oleh kebanyakkan penyokong beliau di negara tersebut.

Steve McManaman

Selepas tampil 364 kali untuk kelab asal beliau Liverpool, Steve McManaman disambar Real Madrid untuk menjadi pemain kedua berdarah British menyertai gergasi Sepanyol itu selepas Laurie Cunningham. Penampilan pertama McManaman bersama Los Blancos ialah pada 1999, dan beliau berjaya menghasilkan satu bantuan gol untuk membantu Real Madrid menang 2-1 ke atas Mallorca.

Pemain sayap itu kemudiannya menjadi tonggak utama Real Madrid, dan turut menjaringkan gol di perlawanan akhir UEFA Champions League untuk menewaskan Valencia 3-0 pada 2000. Beliau turut beraksi sebagai pemain gantian di perlawanan akhir pertandingan yang sama ketika Real Madrid menewaskan Bayer Leverkusen 2-1 pada 2002. Tampil dalam 98 perlawanan La Liga dan menjaringkan 8 gol, McManaman turut memiliki dua kejuaraan La Liga bersama Real Madrid.

Rumusan

Tidak ramai pemain berdarah British yang berjaya mencapai kejuaraan ketika beraksi bersama kelab di luar England.

Mampukah pemain-pemain generasi baru seperti Jadon Sancho, Reiss Nelson, Chima Okoroji atau Reo Griffiths memenuhi impian bersama kelab masing-masing?

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN