RASMI: Julian Nagelsmann Sah Sertai Bayern Munich, Apa Yang Perlu Anda Tahu?

Julian Nagelsmann sah akan meninggalkan RB Leipzig selepas tamat saingan musim ini untuk menjadi pengurus Bayern Munich yang baharu menggantikan Hansi Flick.

RB Leipzig mengesahkan khabar itu sendiri pada Selasa, bahawa Nagelsmann yang berusia 33 tahun akan meninggalkan Red Bull Arena hanya selepas dua musim bersama kelab itu. Nagelsmann dilaporkan telah menandatangai kontrak selama lima tahun bersama juara bertahan Bundesliga itu.

Sebelum disahkan menyertai Bayern Munich, pengurus muda itu turut dikaitkan akan ke England sebagai pengganti Jose Mourinho di Tottenham Hotspur.

Kenyataan Bayern Munich

Melalui satu kenyataan Bayern turut berkata: “FC Bayern telah melantik Julian Nagelsmann sebagai Ketua Jurulatih baharu.

“Pengendali kelahiran Bavarian berusia 33 tahun itu akan berhijrah ke Munich dari RB Leipzig pada 1 Julai 2021 untuk menghadapi musim baharu, dan telah menandatangai kontrak selama lima tahun dengan pemegang rekod kejuaraan Jerman sehingga 30 Jun 2026.

“Pelantikan ini diteruskan selepas FC Bayern sebelum itu bersetuju menerima permintaan Hansi Flick untuk menamatkan kontraknya pada 30 Jun 2021, dua tahun lebih awal daripada tarikh sepatutnya ia tamat.”

Rekod pencapaian Hansi Flick di Bayern Munich

Flick mulai menyertai Bayern apabila dilantik selaku pembantu jurulatih pada Julai 2019, dan bekerja di bawah pengurusan Niko Kovac.

Selepas Kovac dipecat, Flick naik pangkat dan dilantik selaku pengurus interim pada November 2019.

Tiga hari kemudian, Flick mengemudi Bayer Munich menewaskan Olympiakos 2-0 dalam perlawanan peringkat kumpulan UEFA Champions League. Selepas permulaan yang baik, Bayern kemudiannya mengesahkan Flick akan mengendalikan pasukan sehingga ke penghujung musim.

Sepanjang kempen musim 2019/20, Bayern menang tiga kejuaraan utama benua – Bundesliga, DFB-Pokal dan juga Champions League. Treble sebegitu merupakan yang kedua pernah diraih oleh Bayern sepanjang sejarah kelab, dan Flick dinamakan sebagai Jurulatih Terbaik Tahunan UEFA.

Bayern terus cemerlang di bawah Flick apabila turut meraih kemenangan di perlawana UEFA Super Cup 2020 selepas menewaskan Sevilla, selain daripada muncul juara Piala Kelab Dunia FIFA pada Februari tahun ini. Ia pasti satu cabaran besar buat Nagelsmann meneruskan legasi ditinggalkan oleh Flick.

Khabar angin mengatakan Hansi Flick bakal bergelar Ketua Jurulatih skuad kebangsaan Jerman sekiranya meninggalkan Bayern Munich. Joachim Low sah akan meninggalkan jawatan beliau bersama Jerman selepas Euro 2020 pada musim panas ini.

Rekod pencapaian Nagelsmann

Nagelmann sebenarnya bukan lagi nama asing di dalam bola sepak eropah. Beliau adalah pengurus termuda melakukan penampilan di Bundesliga apabila mengemudi Hoffenheim pada 2015 pada usia 28 tahun.

Beliau berjaya menyelamatkan kelab tersebut ketika itu sebelum menempatka Hoffenheim di empat kedudukan teratas Bundesliga pada musim penuh pertamanya.

Nagelsmann kemudiannya menyertai Leipzig pada Jun 2019, sebelum membimbing pasuka itu ke separuh akhir Champions League pada musim yang sama.

Skuad Leipzig kendalian Nagelsmann kini berada di kedudukan kedua Bundesliga, ketinggalan tujuh mata di belakang Bayern.

Bayern bayar harga tinggi

Bayern dan Leipzig dikatakan mulai berbincang mengenai yuran perpindahan sejak minggu lalu lagi untuk merealisasikan penghijrahan Nagelsmann menjadi kenyataan.

Tiada nilai tertentu telah diumumkan secara rasmi, namun sumber dari The Athletic mendedahkan Bayern harus membayar Leipzig €20 juta untuk nilai rekod dunia perpindahan pengurus di era bola sepak moden.

Pembayarn yuran perpindahan bukan perkara baharu khususnya di Jerman. RB Leipzig sendiri terpaksa membayar Hoffenheim €5 juta untuk khidmat Nagelsmann pada 2019. Begitu juga dengan perpindahan Marco Rose dari Gladbach ke Dortmund (€5 juta),  Adi Hutter (€7.5 juta, Frankfurt ke Gladbach) dan Bo Svensson (€1.6 juta, Liefering ke Mainz).

Dibandingkan dengan nilai yang dibayar untuk pengurus lain, bayaran untuk Nagelsmann ternyata besar. Ia sudah cukup untuk menjelaskan reputasi yang dimiliki oleh pengurus muda ini.

Taktikal

Dari segi falsafah taktikal, Nagelsmann menyukai high pressing football ala Barcelona, dan banyak jugs mengkaji doktrin tactician seperti Ralf Ragnick, Arsene Wenger dan Unai Emery.

Nagelsmann berpegang kepada prinsip:

“Untuk menjadi jurulatih bola sepak yang berjaya, taktikal hanya 30% manakala 70% lagi adalah kompetensi sosial.”

Nagelsmann tidak bersembunyi akan minat beliau ke atas Guardiola. Tidak hairanlah ramai rakan dan pemain-pemain beliau menggelarkan beliau Mr. Perfect kerana sikapnya yang prefectionist ala Guardiola.

Namun begitu beliau tetap menyatakan Thomas Tuchel adalah pengaruh terbesar dalam karier kejurulatihan beliau.

Ini kerana, ketika beraksi untuk pasukan remaja Augsburg, Thomas Tuchel sudah menghidu bakat istimewa Nagelsmann.

 

Baca artikel lain dari kami mengenai Julian Nagelsmann:

Nagelsmann: Leipzig Jangan Risau, Saya Tak Berminat Nak Ke Dortmund

Julian Nagelsmann Kongsi Kaedah Perancangan Dan Pemilihan Taktikal

Julian Nagelsmann Idam Mahu Jadi Pengurus Bayern Munich

Leave a Reply