Juan Torres Garrido secara rasminya dilantik selaku pengendali baharu skuad bawah 23 (B-23) negara yang kini akan membuat persiapan untuk saingan Piala Asia pada tahun hadapan.
Kenyataan tersebut dikeluarkan sendiri menerusi sesi sidang media yang baru sahaja berlangsung sebentar tadi dengan Juan bakal mengemudi skuad B-23 tidak lama lagi.
Siaran Media: FAM Umum Juan Torres Garrido Ketua Jurulatih Baharu Skuad B-23 Kebangsaan
▶️ Baca penuh di https://t.co/S8C3OWNRtO#FAM #HarimauMalaya pic.twitter.com/HcTtTh5vd3
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) October 12, 2023
Bagi jawatan pembantu jurulatih pula, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) melantik Shukor Adan selepas beberapa temuduga dibuat sebelum itu untuk mengenal pasti siapa layak di posisi tersebut.
Nidzam Jamil, Rusdi Suparman, dan Akmal Rizal Ahmad Rakhli dimaklumkan sebelum itu antara yang turut hadir dalam sesi temuduga sebagai pembantu jurulatih sebelum FAM memutuskan Shukor selaku pembantu jurulatih B-23 negara.
Untuk rekod, Juan sebelum ini merupakan pembantu jurulatih kepada Elavarasan bagi skuad B-23 dan kini beliau ditugaskan untuk mengetuai pasukan tersebut di saingan Asia.
FAM juga memaklumkan ketika ini tiada sebarang KPI diletakkan kepada pengendali dari Sepanyol itu bersama pasukan B-23 negara dan berkemungkinan turut akan dimaklumkan pada masa akan datang.
Pengalaman Juan sebelum ini boleh dianggap sangat luas dalam dunia bola sepak, kerana beliau pernah bertindak selaku jurulatih B-18, penganalisis, pencari bakat dan pengarah teknikal kepada CF Damm yang berpangkalan di Barcelona.
Selepas itu, Juan juga turut bertindak mengetuai jawatan pencari bakat buat Barcelona bagi daerah Catalunya sebelum menjadi pengendali skuad B-23 Granada.
Sebelum itu, E. Elavarasan sah melepaskan jawatan selaku pengendali skuad B-23 selepas beliau berjaya membantu mereka untuk melayakkan diri ke saingan Piala Asia dengan dramatik.
Kehadiran kedua individu ini pastinya akan mencuri tumpuan kerana Malaysia B-23 mempunyai misi penting selepas ini dalam saingan Piala Asia pada tahun hadapan.
Harapan besar sudah tentu diletakkan oleh para penyokong yang kini berharap supaya corak permainan skuad B-23 mampu berubah menjadi lebih positif.
Malah, beberapa keputusan dicatat barisan pemain muda sebelum itu yang kurang memberansangkan di pentas antarabangsa juga ditagih kini supaya dapat diperbaiki.
Kami di Semuanya BOLA mengharapkan masa depan skuad B-23 akan lebih baik selepas ini di pentas antarabangsa bawah kendalian Juan dan Shukor selain mereka melahirkan pelapis baharu untuk pasukan senior.