Bagaimana India Mendaki Ranking 171 Ke Ranking Sub-100 Dalam Masa 4 Tahun

Lawan Harimau Malaya pada perlawanan pembukaan Pestabola Merdeka 2023 pada 13 Oktober ini mempunyai cerita menarik. Kira-kira sembilan tahun lepas, India ‘berkubang’ dalam kolam ranking FIFA sama dengan Malaysia. Malaysia di ranking 154, India di ranking 158 semasa kemasan bertarikh September 2014. Pada satu ketika, India pernah jatuh ke ranking 173 – ranking paling terendah dalam sejarah bola sepak mereka.

India mengambil masa empat tahun sebelum berjaya mendaki semula ke ranking sub-100. Pada kemasan ranking September 2018, India menduduki ranking 97. Malaysia di ranking 171 – antara yang terendah dalam sejarah bola sepak negara.

Jadi bagaimana India melakukannya? Apa yang kita boleh pelajari daripada India – negara yang obses dengan kriket sebagai sukan nombor satu – supaya dapat mencapai sasaran yang ditetapkan oleh ketua jurulatih Kim Pan-gon: ranking 120 menjelang akhir tahun ini.

Sentuhan emas Stephen Costantine

Peningkatan ranking FIFA India bermula dengan analisis badan pentadbirnya, All India Football Federation (AIFF) terhadap cara pengiraan mata ranking FIFA dibuat. Mengambil pengajaran dari kes kajian Wales dan Poland yang berjaya menaikkan ranking FIFA mereka menerusi simulasi pelbagai senario dan teknik statistik, AIFF membuat kesimpulan ranking FIFA boleh diperbaiki dengan memilih lawan yang betul semasa kalendar perlawanan antarabangsa.

AIFF kemudiannya merekrut seorang profesor dan tiga pelajar ijazah sarjana dari Indian Institute of Science untuk membentuk satu algoritma khas untuk mengoptimasikan ranking FIFA The Blue Tigers. Algoritma ini dibentuk menggunakan model statistik Poisson regression dan simulasi Monte Carlo.

Daripada algoritma sama juga, AIFF mendapati ranking FIFA sebenarnya tidak menggambar kekuatan prestasi terkini sesebuah pasukan. Dalam erti kata lain, anda sebenarnya ada peluang mengalahkan pasukan di ranking atasan – asalkan anda memilih pasukan yang betul.

Penemuan baharu oleh AIFF ini tidak mungkin terjadi jika tidak kerana desakan ketua jurulatih skuad kebangsaannya pada ketika itu, Stephen Constantine. Costantine bukan lagi satu nama asing dalam arena bola sepak India, selepas memegang teraju kejurulatihan negara tersebut sejak tahun 2002.

“Di bawah kendalian Stephen Costantine, kami bukan sahaja berjaya mengubah kedudukan ranking menjadi lebih baik, malah kami kini mampu memberi saingan sengit untuk pasukan hebat dalam saingan Piala Asia.

“Beliau secara konsisten turut berjaya menaikkan keyakinan diri dalam pasukan,” puji penyerang senior India, Jeje Lalpekhlua mengenai pengaruh Costantine kepada negara tersebut ketika itu.

Pengaruh ISL besar buat skuad kebangsaan India

Penubuhan Indian Super League (ISL) turut menjadi salah satu faktor kebangkitan bola sepak India dalam satu tempoh masa yang pantas. Semua kelab diswasta dan difrancaiskan. Secara tiba-tiba, pemain-pemain liga domestik India berpeluang bergesel bahu dengan Tim Cahill, Luis Garcia, Nicolas Anelka, Robbie Keane, Alessandro Del Piero, Dimitar Berbatov dan ramai bintang dunia lain.

Pemain-pemain berprofil besar di ISL mungkin telah menjadikan India destinasi persaraan popular mereka. Tetapi ia satu aturan yang menguntungkan kedua-dua pihak kerana sekarang pemain-pemain tempatan mereka mempunyai keyakinan – “Eh, kita boleh bersaing sebenarnya dengan pemain-pemain bintang ini.” Salah satu daripada pemain tersebut adalah Sunil Chhetri.

Kesedaran Chhetri ini, yang bagusnya, turut dikongsi sama oleh majikannya Bengaluru FC yang bermain di I-League. Harus diingat pada ketika itu, pasukan-pasukan I-League memandang fenomena ISL sebagai ‘sarkas datang ke pekan’. Hinggalah Bengaluru FC mengubahnya.

Menyedari ISL adalah langkah ke hadapan untuk bola sepak India, Bengaluru memulakan revolusi penswastaan kelab sehinggalah berjaya masuk ke ISL pada musim 2017. Langkah Bengaluru ini kemudiannya diikuti oleh kelab-kelab I-League lain seperti East Bengal dan Mohun Bagan.

ISL berubah daripada sebuah ‘sarkas’ ke liga bola sepak utama India. Bakat-bakat muda India berebut-rebut untuk main di ISL. Dan sekarang, Constantine mempunyai semakin ramai pemain tempatan yang berkualiti untuk dipilih masuk dalam skuad kebangsaan.

2017 tahun kemuncak India

Pada tahun 2017, sejarah baharu terlakar buat bola sepak India. Selepas merekodkan tujuh kemenangan dan dua seri dalam sembilan perlawanan antarabangsa, India kembali berada di ranking sub-100 di kedudukan ke-96 dunia.

Jika diperhatikan lawan-lawan India sepanjang 2017, ia jelas menunjukkan algoritma mereka berhasil. India menang ke atas Kemboja, Myanmar, Nepal, Republik Kyrgyz, Mauritius dan Macau, seri menentang St Kitts and Nevis dan Myanmar. Hanya Republik Kyrgyz dan St Kitts and Nevis yang menduduki ranking lebih atas daripada India pada tahun 2017.

Tampuk kejurulatihan Costantine diambilalih oleh Igor Stimac susulan kempen Piala Asia 2019 yang sederhana. Ketua jurulatih mungkin bertukar, tetapi metodologi India untuk menaikkan ranking tidak berubah.

Cubaan The Blue Tigers untuk mendaki ranking FIFA dengan menyertai King’s Cup di Thailand dan menganjurkan Intercontinental Cup (dengan menjemput Tajikistan, Korea Utara, Syria pada edisi 2019) agak kurang berhasil. Tetapi setidak-tidaknya ranking FIFA India masih kekal dalam ruang 100-110 sehingga kini.

India mungkin dikejutkan Malaysia

Pada Januari 2023 lepas, Presiden FAM Datuk Haji Hamidin mendedahkan India merupakan negara paling bersemangat untuk menyertai Pestabola Merdeka 2023. Barangkali AIFF melihat Pestabola Merdeka medan tepat untuk terus mengutip mata penting dalam ranking FIFA selepas kempen yang kurang memberangsangkan di King’s Cup di Thailand pada bulan lepas.

Menentang Malaysia, lawan yang kali terakhir diuji pada tahun 2011, India turut melihat ini sebagai medan persiapan terbaik menjelang kempen Piala Asia 2023 awal tahun depan. Seperti The Blue Tigers, Harimau Malaya turut melihat perlawanan ini sebagai medan mencapai dua objektif sama.

Skuad negara yang sedang menikmati tempoh peningkatan yang memberansangkan (meskipun tidak sedramatik peningkatan ranking FIFA India) masih segar dari persembahan cemerlang mengikat Syria dan China pada bulan lepas.

Amat menarik apabila melihat skuad negara kita akhirnya tahu sendiri ramuan untuk menaikkan ranking FIFA, sebagaimana India, iaitu:

1. Menjadualkan jumlah perlawanan yang optimum dalam kalendar FIFA.

2. Menggunakan model statistik untuk memilih lawan ranking atasan yang boleh dikalahkan.

3. Menilai risiko keputusan perlawanan. Sebagai contoh, pasukan ranking atasan perlu bermain banyak perlawanan untuk mendaki ranking. Pasukan ranking bawahan perlu lebih memilih lawan ranking atasan.

4. Menggunakan strategi perikatan di mana dua pasukan yang sama kuat mengatur siri dua perlawanan back-to-back.

5. Memilih satu lawan ranking atasan yang boleh diikat seri atau dikalahkan dengan satu strategi taktik yang spesifik.

P/S: Jika anda tidak berkesempatan untuk menyaksikan perlawanan ini di SNBJ, kami nak ajak anda memeriahkan Tayangan Skrin Besar perlawanan ini anjuran Jabatan Belia dan Sukan Negara, Kementerian Belia dan Sukan.

Tayangan Skrin Besar perlawanan ini akan diadakan di 15 lokasi seluruh negara pada malam 13 Oktober nanti. Maklumat lanjut mengenai Tayangan Skrin Besar ini boleh anda rujuk seperti di bawah:

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN