Sah. Kini mereka tidak lagi bersama.
Argentina dengan secara rasminya telah pun melepaskan jurulatih mereka iaitu Jorge Sampaoli dari jawatan tersebut.
Keputusan tersebut telah pun dinyatakan oleh mereka menerusi satu kenyataan rasmi dalam laman rasmi mereka.
Keputusan tersebut diambil hasil persetujuan bersama oleh pihak Argentina dan juga Sampaoli sendiri.
“Pihak Argentina dan Jorge Sampaoli telah pun mencapai persetujuan untuk menamatkan perkhidmatan beliau bersama skuad kebangsaan Argentina.”
Selain Sampaoli, dua lagi staf kejurulatihan Argentina turut membawa diri bersama-sama beliau.
Mereka adalah Jorge Desio yang merupakan jurulatih fizikal dan juga penganalisis video pasukan iaitu Matías Manna.
Argentina juga turut mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih di atas khidmat yang diberikan oleh Sampaoli.
“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka di atas segala apa yang dilakukan sepanjang berkhidmat untuk kami.”
Sampaoli dilepaskan dari jawatan sebagai jurulatih Argentina selepas beliau mengharungi kempen Piala Dunia 2018 yang cukup goyah buat Argentina.
Argentina hampir saja malu besar apabila gagal menewaskan Nigeria di perlawanan akhir peringkat kumpulan, namun mujur jaringan Marcos Rojo membawa mereka ke pusingan seterusnya.
Namun begitu, Argentina terkandas di pusingan 16 pasukan terakhir hasil dari kekalahan di tangan juara kejohanan – Perancis.
Terdapat juga ura-ura mengatakan Sampaoli telah pun kehilangan sokongan dari para pemain Argentina sewaktu Piala Dunia berlangsung.
Sergio Aguero antara nama yang lantang mahukan Sampaoli disingkir.
Dengan penyingkiran beliau, belum ada lagi sebarang khabar angin mengatakan siapakah akan mengendalikan Argentina selepas ini.