Pahang FA telah mengambil keputusan untuk melepaskan pemain sayap Chan Vathanaka dan membawa masuk bekas penyerang Terengganu, Issey Nakajima Farran. Issey Nakajima dalam instagram beliau berkata:
“Sah. Terima kasih kepada Pahang FA dan jurulatih yang membawa saya masuk dan kesemua mereka yang membantu saya dalam merealisasikan semua ini.”
“Ianya satu kisah yang agak panjang sejak Februari lalu. Dan saya gembira, ia akhirnya selesai.”
“Saya tidak sabar untuk menghadapi cabaran dan mengenali orang Pahang serta kecantikan pemandangannya.”
“Dan yang lebih penting adalah, saya sudah tak sabar-sabar untuk bermain beberapa tiki-taka dengan pasukan yang berkualiti ini.”
Sementara itu, Austin Amutu akan mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Forkey Doe yang berehat panjang akibat kecederaan lutut. Amuthu akan bermain untuk baki saingan musim ini.
Bercakap kepada Astro, pengendali Pahang berharap 2 pemain ini akan memberikan tambahan yang sangat baik kepada pasukan beliau dari segi kualiti.
“Kami berharap kehadiran 2 pemain ini akan meningkatkan kualiti skuad kami. Amutu mungkin akan menghadapi kesukaran untuk menyesuaikan diri tetapi kami yakin pengalaman beliau akan membantu kami.”
Dollah Salleh menyatakan beliau terpaksa melepaskan Vathanaka selepas pemain tersebut gagal menggunakan peluang untuk membuktikan sesuatu terutama sekali dalam perlawanan menentang Kuala Lumpur pada 15 April lalu.
Dollah Salleh tidak melihat banyak peningkatan daripada Chan Vathanaka walaupun pemain tersebut mencipta beberapa bantuan gol untuk pasukan beliau.
Issey Nakajima sudah lama tiba di Pahang untuk menjalani sesi percubaan dengan pasukan Pahang.
Amutu sebelum ini bermain untuk kelab Tunisia, ES Zarzis. Beliau tidak melakukan sebarang penampilan dengan kelab tersebut.
Amutu ada reputasi yang baik ketika bersama Kelantan pada satu ketika dahulu dengan 8 gol daripada 14 penampilan. Beliau menjadi pemain penting yang membawa Kelantan ke final Piala FA 2015.
2 gol beliau ketika itu membantu menyingkirkan Pahang dari separuh akhir.
Dengan kemasukan 2 pemain ini, Pahang berharap mereka akan kembali merapatkan jurang dan terus menyaingi pasukan pendahulu JDT.
Dollah Salleh juga berharap 2 pemain ini akan melakukan debut menentang Terengganu, Jumaat ini.
Selamat kembali ke kancah liga Malaysia, Issey Nakajima dan Amutu.