Pemain Brazil, Richarlison disahkan menyertai Tottenham Hotspur selepas pelbagai spekulasi melingkari pemain itu.
Beliau telah melengkapkan perpindahan ke Spurs selepas menjalani ujian perubatan di Brazil dengan wakil dari kelab itu turun ke negara tersebut bagi memastikan perpindahan ini berjalan.
Hal ini sekali gus menafikan peluang Chelsea yang dikhabarkan bersedia untuk memintas Spurs untuk pemain tersebut.
Dalam sebuah kenyataan, Spurs begitu teruja untuk menerima kehadiran pemain Brazil itu.
“Kami cukup teruja untuk mengumumkan perpindahan Richarlison dari Everton, tertakluk kepada permit kerja,” ulas Spurs ringkas dalam kenyataan mereka.
Selama empat tahun, Richarlison melakukan 152 penampilan sambil menjaringkan 53 gol untuk Everton.
Menurut Fabrizio Romano, jumlah perpindahan Richarlison ke Spurs bernilai £60 juta termasuk tambahan atau add-ons.
Dengan adanya perpindahan ini, maka Richarlison menjadi pemain keempat yang menyertai Spurs pada musim panas ini selepas Antonio Conte mendapatkan Ivan Perisic, Yves Bissouma, dan Fraser Forster.