Penyerang berbisa Johor Darul Ta’zim (JDT) musim lalu, Fernando Forestieri dilaporkan akan terus kekal bersama pasukan tersebut untuk saingan musim hadapan.
Pengesahan itu dibuat sendiri menerusi laman Johor Southern Tigers (JST) hasil kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Alistair Edwards yang menyatakan Forestieri kekal bersama pasukan tersebut untuk musim hadapan bersama tiga pemain antarabangsa baharu.
“Berikutan perbincangan bersama pemilik kelab, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor, Fernando Forestieri dan saya sendiri, penyerang tersebut akan kekal dalam skuad Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim, serta tiga pemain antarabangsa baharu akan mengukuhkan pasukan secara strategik di beberapa posisi untuk musim 2024-25,” jelas kenyataan tersebut.
Terdahulu, Forestieri menjadi antara pemain yang dilepaskan pada awalnya oleh JDT untuk saingan hadapan bersama beberapa lagi tonggak lain dan diumumkan pada 7 Januari lalu.
Namun, kelab tersebut kini boleh dikatakan mengambil keputusan tepat untuk mengekalkan pemain kelahiran Argentina itu jika dinilai pada rekod beliau musim lalu.
Sepanjang dua musim bersama JDT, pemain ini telah pun meledak 47 gol serta dan 21 bantuan sepanjang 69 penampilan keseluruhan di pentas domestik serta antarabangsa untuk pasukan tersebut.
Musim lalu boleh dianggap sesuatu yang sangat positif buat penyerang tersebut, selepas Forestieri meledak 21 gol serta 12 bantuan jaringan hanya untuk saingan peringkat domestik.
Tampil menerusi gandingan berbisa bersama rakan serangan iaitu Bergson da Silva, ketajaman mereka jelas tidak perlu dipertikaikan lagi dalam dan luar negara.
Berkelebihan untuk beraksi di posisi penyerang kedua, sayap kiri, dan serangan utama, menjadikan pemain ini sebagai suatu aset terbaik buat JDT sejak awal penyertaan beliau lagi.
Selain Forestieri, JDT telah pun menandatangani dua pemain import baharu di posisi tengah mereka untuk saingan hadapan iaitu Jalil Elias serta Francisco Geraldes yang dianggap memiliki reputasi cukup tinggi di luar negara sebelum itu.
Dijangka, beberapa lagi pemain baharu bakal melaporkan diri mereka tidak lama lagi bersama JDT di saingan hadapan untuk mengisi kekosongan di beberapa posisi kelab tersebut.
Pada pandangan anda, pemain kebangsaan mana kini yang sedang beraksi dalam saingan Piala Asia 2023 bakal menyertai JDT untuk saingan hadapan?