Frank Lampard nampaknya sudah menemui jawapan bagi mengelakkan posisi penjaga gol terus menjadi masalah besar buat Chelsea apabila kelab tersebut telah melengkapkan perpindahan Edouard Mendy.
Mendy yang juga merupakan penjaga gol skuad kebangsaan Senegal telah memeterai kontrak selama lima musim untuk bersama The Blues dengan yuran perpindahan bernilai £22 juta.
Aksi kurang bertenaga ditampilkan penjaga gol utama, Kepa Arrizabalaga pada musim lalu nyata menjadi penyebab utama Lampard memilih untuk memperkuatkan benteng terakhir skuad dari London itu.
Perkembangan terkini yang sudah pastinya menggembirakan para penyokong setia Chelsea itu diumumkan laman sesawang rasmi kelab tangga keempat kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) 2019/20 tersebut, sebentar tadi.
Mendy hadir ke Stamford Bridge dengan reputasi baik apabila beliau menjadi tonggak utama dalam membantu Reims dinaikkan pangkat ke saingan Ligue 1 2018/19.
Berhijrah ke Rennes semusim kemudian, penjaga gol berusia 28 tahun itu memainkan peranan penting membantu kelab tersebut menduduki tangga ketiga kempen Ligue 1 musim lalu sekaligus berjaya melayakkan diri ke Liga Juara-Juara Eropah 2020/21.
Sebelum ini, Lampard mendedahkan bahawa Penasihat Teknikal dan Prestasi Chelsea, Petr Cech menjadi individu penting yang menjadikan Mendy sebagai pemain baharu Chelsea.
Lebih signifikan, Cech juga pernah beraksi bersama Rennes sebelum beliau dipancing Chelsea pada musim 2004/05.
Kredit featured image: Ian MacNicol/Getty Images