Bekas penyerang berbisa tempatan, Shahrel Fikri secara rasminya kini menjadi rekrut terbaharu PDRM selepas ia diumumkan sendiri secara rasmi oleh media sosial kelab berkenaan sebentar tadi.
Selain Shahrel, beberapa nama lagi pemain tempatan lain telah pun diperkenalkan PDRM untuk musim ini termasuk bekas pemain sayap lincah Kuching City musim lalu, Hidhir Idris.
Mengenai Shahrel, ianya sebelum ini pernah disebut untuk menyertai The Cops menerusi perkongsian Fadhirul Shuhaimi dan kini ia turut disahkan sendiri melalui wartawan Astro Arena tersebut.
Nama Shahrel bukan lagi suatu yang asing dalam dunia bola sepak Malaysia, selepas beliau pernah membuktikan dirinya selaku antara penyerang berbisa tempatan beberapa tahun lalu.
Untuk rekod, Shahrel pernah merangkul dua kali gelaran bekas Penyerang Terbaik Anugerah Bolasepak Kebangsaan pada tahun 2017 (ABK 2017) dan ABK 2020 ketika era kegemilangannya.
Sepanjang bersama Negeri Sembilan pada tahun lalu, Shahrel telah pun mencipta 19 penampilan bersama aksi cukup menyakinkan walaupun terpaksa berehat seketika pada pertengahan musim akibat kecederaan.
Bersama skuad Hoben Jang Hoben, Shahrel yang beraksi di posisi penyerang telah pun meledak tujuh gol bersama dua bantuan jaringan secara keseluruhan.
Aspek kualiti penyudah dimiliki beliau jelas tidak boleh diragui lagi selain berkebolehan beraksi di beberapa posisi serangan lain seperti sayap kiri serta penyerang kedua mengikut kesesuaian taktikal.
Sepanjang karier Shahrel dalam saingan Liga Super, pemain tersebut sudah pun beraksi sebanyak 76 perlawanan bersama kelab berbeza serta mencipta 21 gol bersama lapan bantuan jaringan.
Shahrel juga menjadi antara pemain yang mencipta karier di Thailand, bersama Nakhon Ratchasima dengan 10 penampilan serta satu gol diraihnya.
Pemain ini turut mencipta 15 penampilan bersama Harimau Malaya dengan meledak empat gol serta satu bantuan jaringan secara keseluruhannya di pentas antarabangsa.
Kehadiran Shahrel bersama PDRM dilihat sangat penting kini, selepas mereka telah pun kehilangan bekas penyerang musim lalu, Nabil Latpi yang kini menyertai Penang.
Malah kemasukan beberapa lagi pemain tempatan baharu lain dianggap mampu untuk memberi kekuatan tambahan buat PDRM yang dijangka bakal memberi cabaran besar buat pasukan lain.