Malaysian Football League (MFL) telah mengesahkan yang Astro dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan menjadi penyiar rasmi Liga Malaysia 2023.
Perkara ini diumumkan selepas beberapa ketika pengikut bola sepak negara berteka-teki siapakah yang bakal menjadi penyiar rasmi untuk saingan tempatan musim ini.
Dalam perjanjian ini, Astro bakal menjadi penyiar utama dengan mereka bakal menayangkan aksi dalam siaran definisi tinggi (HD) menerusi pelbagai platform termasuklah televisyen dan aplikasi Astro Go.
Sementara RTM pula bakal menyiarkan 75 perlawanan merentasi aksi Piala Sumbangsih, Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia menerusi rangkaian siaran TV2, TV Okey, Sukan RTM dan juga MyKlik.
Perkara ini jelas sekali memberikan dimensi baharu kepada penyiaran bola sepak di Malaysia dengan pihak MFL menyambut baik kerjasama dua saluran ini.
Bagi Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam, beliau yakin yang Astro dan RTM adalah dua saluran yang tepat untuk bawa Liga Malaysia ke tahap yang lebih tinggi selepas ini.
“MFL percaya dua rakan penyiar ini berkongsi objektif dan fokus mengenai kandungan yang penting jadi kami telah menemui rakan kongsi terbaik untuk membina semula jenama dan impak Liga Malaysia ke tahap lebih tinggi.
“Dengan kepakaran dan pengalaman yang dimiliki Astro dan RTM dalam bidang penyiaran sukan, kami berharap ia dapat memenuhi jangkaan dan harapan semua peminat-peminat,” katanya.
Aksi pertama yang bakal disiarkan oleh kedua-dua saluran ini adalah perlawanan Piala Sumbangsih yang melibatkan Johor Darul Ta’zim dan Terengganu di Stadium Sultan Ibrahim.