Rashford Tarik Diri, Grealish Dipanggil Wakili England Buat Kali Pertama

Jack Grealish England

Pemain tengah Aston Villa, Jack Grealish akhirnya mendapat panggilan pertama untuk mewakili England ekoran penarikan diri Marcus Rashford dan Harry Winks daripada skuad yang akan beraksi di saingan Liga Negara-Negara Eropah.

Pemain berusia 24 tahun itu pernah beraksi bersama skuad bawah 21 tahun (B-21) England di bawah bimbingan Gareth Southgate dan berpeluang untuk membuat debut dalam perlawanan Iceland dan Denmark. 

Musim lepas, Grealish yang mengetuai Aston Villa berjaya memastikan pasukannya tidak tersingkir dari saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan kini telah menjadi buruan beberapa kelab termasuk Manchester United.

Beliau akan menyertai beberapa muka baharu yang lain seperti penyerang remaja United Mason Greenwood, pemain tengah Leeds Kalvin Phillips, kapten Wolves Conor Coady dan pemain muda Arsenal Ainsley Maitland-Niles.

Penyerang Manchester United, Rashford mengesahkan beliau menarik diri daripada skuad disebabkan masih belum sembuh sepenuhnya daripada kecederaan buku lali yang dialaminya ketika perlawanan separuh akhir Liga Europa menentang Sevilla dua minggu lepas.

Dalam akaun media sosialnya, pemain berusia 22 tahun itu memberi penjelasan dan jelas kecewa tidak dapat membantu pasukan negaranya.

“Masih belum sembuh. Saya tidak mahu mengecewakan pasukan, tetapi perlawanan ini terlalu awal untuk saya. Saya dah cuba yang terbaik untuk kembali cergas dan saya perlu memberi tumpuan untuk memulakan musim ini. Semoga berjaya, saya akan menyokong kamu semua dari rumah.”

Skuad kendalian Southgate itu akan beraksi di gelanggang lawan untuk kedua-dua perlawanan tersebut dengan berkunjung ke Reykjavik bagi berdepan Iceland pada 5 September dan kemudian menentang Denmark di Copenhagen tiga hari berikutnya.

Ianya merupakan perlawanan pertama England sejak November 2019 ekoran krisis pendemik yang juga menyebabkan kejohanan EURO 2020 ditangguhkan ke tahun depan.

Senarai terbaharu skuad England:

Penjaga gol: Dean Henderson, Jordan Pickford, Nick Pope

Pertahanan: Trent Alexander-Arnold, Conor Coady, Eric Dier, Joe Gomez, Michael Keane, Ainsley Maitland-Niles, Tyrone Mings, Kieran Trippier, Kyle Walker

Tengah: Phil Foden, Mason Mount, Kalvin Phillips, Declan Rice, James Ward-Prowse, Jack Grealish

Penyerang: Tammy Abraham, Mason Greenwood, Danny Ings, Harry Kane, Jadon Sancho, Raheem Sterling

Baca juga artikel kami yang lain mengenai Jack Grealish dan England:

Leave a Reply