Rangers akan kembali bermain dalam Scottish Premiership pada musim depan, selepas sah bergelar juara Scottish Championship – liga divisyen ke-2 Scotland – musim ini dengan kemenangan 1-0 menentang Dumbarton semalam.
Tempat Rangers dalam Scottish Premiership dijamin pada musim depan ketika saingan liga Scottish Championship masih berbaki 4 perlawanan. Sepanjang musim, mereka hanya tewas 3 perlawanan liga.
Kejayaan Rangers yang dilatih oleh Mark Warburton ini tidak datang dengan mudah.
Revolusi Warburton
Selepas dilanda masalah kewangan dan masuk administration, Rangers dihumban ke Scottish League Two – liga divisyen ke-4 Scotland.
Maka tak hairanlah, majoriti pemain skuad utama Rangers membatalkan kontrak mereka pada 2012 untuk mencari pasukan baru yang bermain dalam liga yang lebih kompetitif.
Pemain Rangers yang memilih untuk kekal di Rangers pula perlu berhadapan dengan realiti bermain dengan gaji yang jauh lebih rendah dan bermula dari bawah semula.
Untuk ke Scottish Premiership, Rangers pula terpaksa mencuba 3 pengurus berlainan sebelum menjumpai Mark Warburton.
Era kenaikan Rangers bermula dengan Ally McCoist yang bertanggungjawab menaikkan Rangers dari divisyen ke-4 ke divisyen ke-2 Scotland.
Bagaimanapun McCoist gagal membantu Rangers untuk naik dari divisyen ke-2 ke Scottish Premiership. Begitu juga dengan 2 penggantinya, Kenny McDowall dan Stuart McCall.
Di bawah kendalian Warburton, Rangers muncul dengan imej baru. Dibantu oleh bekas kapten Rangers David Weir, Warburton merevolusikan gaya permainan Rangers kepada jenis menyerang yang digemari penyokong.
Bukan saja memperkenalkan gaya permainan yang cantik, Warburton juga berjaya membawa Rangers kembali ke Scottish Premiership dengan bergelar juara divisyen ke-2.
Warburton bawa kestabilan
Berbeza dengan pengurus Rangers sebelumnya, Warburton jauh lebih tenang ketika berhadapan dengan ahli-ahli lembaga pengarah kelab.
Jika Ally McCoist sentiasa bergaduh di bilik lembaga pengarah, Warburton bernasib baik kerana tiba di Rangers ketika kemelut ahli-ahli lembaga pengarah kelab sudah selesai sejak diambil alih oleh ahli perniagaan, Dave King.
Dave King sentiasa memastikan Warburton mempunyai duit untuk dilaburkan kepada pasukan.
Setiap musim beliau mengeluarkan £20 juta duitnya sendiri untuk memastikan Rangers sentiasa kompetitif di Scotland.
Persiapan naik liga
Dengan berita pengesahan kenaikan Rangers ke Scottish Premiership, persoalan baru pula akan timbul.
Berapa banyakkah duit yang bakal diberi oleh ahli-ahli lembaga pengarah kelab kepada Mark Warburton sebagai persiapan untuk menghadapi saingan Scottish Premiership pada musim depan?
Jika kita mengimbas kembali apa yang dilakukan oleh Hearts pada musim ini selepas mereka dipromosi ke Scottish Premiership, Rangers tidak perlu berbelanja besar pun untuk berada dalam kelompok ke-3 terbaik liga.
Apa yang mereka perlu lakukan adalah mengulangi formula pada musim ini, iaitu meminjam pemain muda yang bagus seperti Billy King (Hearts), Dominic Ball (Tottenham Hotspur) dan Gedion Zelalem (Arsenal) yang dipinjam pada musim ini.
Warburton sudah pun menunjukkan beliau mampu mengesan bakat murah yang berkualiti seperti yang dilakukannya ketika membawa masuk James Tavernier dan Martyn Waghorn.
Apa yang perlu Rangers lakukan adalah mencari pemain yang lapar, iaitu lapar untuk berjuang mengembalikan era kegemilangan Rangers dalam liga bola sepak terulung Scotland.
Baca juga: Bagaimana Penyokong Hearts Menghalau Keluar Pengurusan Kelab Yang Bangsat