Pengurus sementara Manchester United, Ralf Rangnick mengatakan yang beliau dan kelabnya tidak akan mendapatkan pemain baharu yang tidak mengambil vaksin Covid-19.
Menyedari masih ramai pemain-pemain Premier League tidak mengambil vaksin, Rangnick menganggap keputusan itu perlu kerana tidak mahu lebih banyak perlawanan ditangguhkan.
Ketika ini, banyak perlawanan Premier League terpaksa ditangguhkan akibat kes positif Covid-19 yang semakin meningkat.
Rangnick turut menyokong apa yang dikatakan oleh rakan senegara, Jurgen Klopp yang juga merupakan pengurus Liverpool mengenai perlunya mengambil vaksin.
“Ya, saya rasa ia perlu menjadi pertimbangan dan saya faham apa yang Jurgen Klopp katakan.”
“Tetapi, ianya bergantung jika anda mahu mendapatkan pemain dan letakkannya dalam risiko tidak dapat diturunkan. Ini adalah isu yang kelab perlu fikirkan dengan serius.”
Pengurus dari Jerman itu mengatakan tiada masalah untuk sesebuah pasukan mengambil pemain yang tidak mengambil vaksin.
Namun mereka perlu bersedia menerima kemungkinan yang pemain tersebut tidak dapat diturunkan selalu jika mereka didapati positif.
“Kalau nak beli pemain dan kelab tahu pemain itu tidak mengambil vaksin, memang kena sedar yang pasukan mungkin tak dapat gunakan pemain tersebut jika ada masalah.”
“Bukan dalam masa 10 hari, tetap lebih kerap selagi kita berhadapan dengan Covid-19.”
Dalam masa yang sama, Rangnick mengambil contoh Joshua Kimmich yang sebelum ini berkeras untuk tidak menerima vaksin namun berubah fikiran selepas dijangkiti Covid-19.
“Lihat Joshua Kimmich, sebelum ini beliau teragak-agak untuk ambil vaksin, kini beliau mungkin sudah mula berasa perlu untuk mengambilnya.”
“Beliau terkena jangkitan Covid-19 dan mengalam sedikit masalah dengan dengan paru-paru. Harapnya beliau akan kembali ke tahap sebenar dan dapat beraksi untuk Bayern Munich.”