Mungkin ada sesuatu yang pasukan Malaysia khususnya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan bakal Ketua Jurulatih skuad kebangsaan yang baharu boleh pelajari daripada Indonesia dan Shin Tae-yong mengenai pengambilan pemain naturalisasi selepas ini.
Jurulatih dari Korea Selatan itu menegaskan beliau gembira dengan anggota skuadnya di kejohanan itu walaupun membariskan lebih ramai pemain tempatan berbanding pemain naturalisasi seperti yang diamalkan skuad Indonesia terdahulu.
Skuad kebangsaan Indonesia berjaya mencuri tumpuan ramai di Kejohanan Piala AFF 2020 pada bulan lalu apabila berjaya mara ke perlawanan akhir kejohanan tersebut -selepas muncul juara Kumpulan B – dengan skuad yang dianggap muda.
Malah pasukan Indonesia pada hari ini dianggap mampu tampil lebih matang di dalam tempoh dua atau tiga tahun akan datang dan menjadi antara kuasa utama bola sepak di rantau ini.
Shin Tae-yong juga mempunyai alasan tersendiri mengapa Indonesia tidak seharusnya terlampau taksub dengan program naturalisasi, dan lebih memberi kepercayaan kepada pemain tempatan.
Pemain naturalisasi di dalam konteks ini adalah termasuk pemain warisan yang perlu melalui proses dokumentasi dan pendaftaran bersama FIFA. Bezanya pemain warisan lebih mudah menyertai negara baharu kerana pertalian darah, manakala pemain naturalisasi perlu memenuhi syarat tertentu FIFA.
Pemain tempatan pula merujuk kepada pemain yang dibangunkan di dalam Indonesia, khususnya oleh kelab tempatan dan bersaing di liga domestik atau luar negara.
Pemain tempatan lebih bersungguh
Dalam sebuah wawancara dengan Myeongjagdeul, Shin Tae-yong mendedahkan mengapa beliau lebih banyak memilih pemain tempatan Indonesia walaupun boleh sahaja memenuhkan pasukan itu dengan pemain naturalisasi/kacukan.
Menurut Shin Tae-yong rakyat Indonesia akan merasa lebih bangga jika pasukan negara itu berjaya mencapai kejayaan di pentas antarabangsa dengan pemain berdarah Indonesia berbanding jika pasukan itu dibarisi ramai pemain luar.
“Saya boleh membentuk sebuah pasukan yang bagus dengan pemain naturalisasi,” kata Shin Tae-yong dalam wawancaranya dengan Myeongjangdeul.
“Akan tetapi, saya juga berfikir orang (rakyat) Indonesia pasti berharap boleh meraih kejayaan dengan pemain yang berasal dari Indonesia,” tuturnya.
Bukan tutup terus naturalisasi
Di sebalik kenyataan tersebut, ini tidak bermakna Shin Tae-yong menutup terus ruang untuk pemain naturalisasi beraksi bersama pasukan Indonesia. Walaupun mengutamakan pemain tempatan, ruang untuk pemain luar tetap dibuka hanya untuk menambahbaik bahagian tertentu yang benar-benar memerlukan.
Empat pemain yang memiliki darah Indonesia dilaporkan telah dihubungi oleh Shin Tae-yong sendiri dan nama mereka telah diserahkan kepada Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) untuk tindakan susulan.
Empat pemain tersebut yang dicadangkan oleh Shin Tae-yong untuk menyarung jersi skuad Garuda pada masa depan adalah Jordi Amat (KAS Eupen/Liga Belgium), Sandy Walsh (KV Mechelen/Belgium), Mees Hilgers (Twente FC/Belanda), dan Ragnar Oratmangoen (Go Ahead Eagles/Belanda).
PSSI sebelum ini dilaporkan memberi kuasa penuh kepada jurulatih dari Korea Selatan itu untuk memilih sendiri calon pemain naturalisasi/warisan untuk dibawa menyertai skuad kebangsaan Indonesia.
PSSI pula hanya bertindak sebagai pemudah cara untuk melengkapkan segala proses dokumentasi yang diperlukan FIFA dan pihak pendaftar Indonesia.