Rakan Senegara Punca Kejatuhan Karier Eden Hazard

Eden Hazard telah mengumumkan persaraanya dari dunia bola sepak profesional dan berita tersebut sepertinya tidak begitu mengejutkan para peminat.

Di usia 32 tahun, Hazard sepertinya sangat sukar untuk mendapatkan semula tahap persembahan terbaiknya.

Dek kerana beliau tidak lagi sehebat ketika kariernya di Chelsea, Hazard sememangnya sudah lebih kerap menghabiskan masa di luar padang berbanding diturunkan untuk beraksi.

Dan atas alasan itulah peminat sepertinya tidak begitu terkejut ketika mendengar yang bintang Belgium itu mahu mengumumkan persaraanya dari dunia bola sepak.

Ramai yang mengaitkan terjahan keras yang beliau kena dari rakan senegaranya sebelum ini sebagai punca mengapa kariernya semakin merundum.

Terjahan keras itu juga dikatakan telah membunuh karier Hazard dan peminat turut beranggapan yang atas hal sama jugalah menyebabkan pemain penyerang itu mahu bersara.

Pemain kebangsaan Belgium itu pernah dianggap sebagai salah seorang pemain terhebat dalam dunia bola sepak, ketika beliau masih beraksi bersama Chelsea.

Bersama The Blues, Hazard berjaya menjulang dua gelaran Premier League dan dua gelaran Europa League.

Eden Hazard berjaya menjaringkan 110 gol sepanjang tujuh tahun beliau bersama Chelsea dan kerana itulah beliau ketika itu dianggap sebagai pemain penyerang paling digeruni di pentas saingan Premier League.

Kelincahan serta kemampuan beliau bukan hanya dipuji oleh penyokong Chelsea, tetapi ia juga berjaya memukau para penyokong pasukan seteru.

Dek kerana aksi hebat beliau bersama The Blues, Hazard telah berjaya menarik minat kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid untuk mendapatkan khidmatnya.

Walau bagaimanapun, karier beliau bersama Real Madrid berjalan tidak seperti yang diharapkan dengan Hazard tidak lagi menjadi pemain seperti mana beliau ketika di Stamford Bridge.

Masalah kecederaan antara punca utama mengapa karier Hazard di Santiago Bernabeu semakin merundum.

Sepanjang kariernya bersama Real Madrid sejak 2019 yang lalu, Hazard hanya mampu menjaringkan empat gol sahaja dalam saingan La Liga.

Selepas beliau dilepaskan pada Jun lalu, Hazard telah menerima beberapa tawaran istimewa untuk beliau memulakan semula kariernya bersama pasukan lain.

Walau bagaimanapun, bekas bintang Chelsea dan Real Madrid itu akhirnya memilih untuk bersara terus dari dunia bola sepak professional.

Ada juga peminat yang percaya bahawa Hazard sepatutnya tidak bersara dahulu kerana mereka percaya bintang Belgium itu masih mampu untuk buktikan sesuatu walau di usia 32 tahun seperti sekarang.

Terjahan dari rakan senegara punca kejatuhan karier Hazard

Ketika aksi bertemu Paris Saint-Germain pada tahun 2019 dalam saingan Champions League, Hazard telah menerima terjahan keras dari pemain pertahanan PSG, Thomas Meunier.

Terjahan tersebut menyebabkan Hazard mengalami masalah keretakan halus di bahagian buku lali beliau dan lebih parah lagi, terjahan itu terkena pada bahagian pergelangan kakinya yang pernah patah ketika di Stamford Bridge sebelum ini.

Terjahan tersebut sebenarnya dilihat tidak begitu bahaya kerana pemain pertahanan Belgium itu dilihat hanya mahu memenangi bola.

Walau nampak tak merbahaya, namun kesan terjahan itu ke atas Hazard sebenarnya telah memberi impak yang sangat mengerikan.

Eden Hazard merupakan pemain terbaik dan paling menyerah ketika aksi bertemu PSG itu, namun momentum beliau merosot teruk selepas insiden terjahan itu.

Ekoran dari terjahan itu, Hazard terpaksa diketepikan selama 3 bulan atas masalah kecederaan buku lali sebelum menderita kecederaan fibula selepas kembali beraksi.

Beliau kemudiannya menjalani pembedahan buku lali pada Mac 2020, dan menurut laporan dari ESPN, beberapa siri kecederaan yang dihadapi oleh Hazard selepas itu semuanya berkait dengan pembedahan tersebut.

Dalam satu muat naik di Instagram, Hazard mengumumkan persaraanya dengan menulis:

“Anda harus mendengar kepada diri anda sendiri dan berhenti pada masa yang betul.”

“Selepas 16 tahun dan beraksi lebih 700 perlawanan, saya memutuskan untuk menamatkan karier saya sebagai pemain bola sepak profesional. Saya sudah memenuhi impian saya, saya bermain dan menikmatinya di banyak tempat di seluruh dunia.

“Sepanjang perjalanan ini saya amat bertuah kerana telah ditemukan dengan ramai pengurus yang hebat, jurulatih, dan rakan sepasukan. Terima kasih kepada semua atas saat indah ini. Saya akan merindui kalian.”

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN