Raimi Mohd Nor Mahu Ikut Jejak Langkah Shukor Adan

Raimi Mohd Nor

Pertahanan kiri berpengalaman, Raimi Mohd Nor berhajat mahu mengikut jejak langkah Shukor Adan untuk cuba meneruskan kariernya dalam tempoh sekurang-kurangnya empat tahun lagi dan sama sekali tidak memikirkan soal persaraan dalam masa terdekat.

Bagi Raimi, keupayaan Shukor untuk bermain walaupun sudah menginjak usia 41 tahun, wajar dijadikan contoh kepada semua sambil berasakan umur sebenarnya bukan penghalang buat mana-mana pemain dan semuanya bergantung kepada keinginan diri sendiri.

Justeru, dia yang kini sudah berusia 34 tahun berharap kekuatan dalam elemen pengalaman akan sentiasa membantunya selain akan terus berusaha memastikan kudratnya mampu bertahan untuk bersaing di saingan Liga Malaysia.

“Saya belum terfikir hendak tamatkan karier atau hendak jadikan Kuala Lumpur sebagai destinasi terakhir untuk bermain sebab kalau boleh sasaran saya hendak main empat ke lima tahun lagi.

“Kalau hendak dibandingkan dengan pemain berpengalaman seperti Shukor Adan yang dah mencecah usia 41 tahun, saya nampak benda ini dalam diri kita sahaja, mahu atau tidak untuk teruskan bermain.

“Jadi, jika saya ada sasaran sendiri, saya kena berusaha keras kerana umur bukan penghalang sebenarnya kerana apa yang mustahak ialah sikap, disiplin dan kerja keras sepanjang masa.

“Selagi ada rezeki dan kudrat saya masih kuat, saya akan teruskan karier sebab belum masanya untuk saya bersara daripada arena bola sepak, ” katanya.

Kredit Foto: Kuala Lumpur Hawks

Raimi merupakan antara tonggak utama Selangor satu ketika dahulu apabila pernah bermain selama lima musim dari 2012-2017 selain di awal pembabitan karier pada musim 2006 pernah mencipta nama di KL Plus, Sime Darby dan Felda United.

Musim lalu, Raimi yang juga merupakan pakar sepakan percuma beraksi untuk Melaka di bawah kendalian Zainal Abidin Hassan serta Pulau Pinang pada musim 2018.

Sementara itu, Raimi menganggap sebagai satu persaingan sihat buat dirinya walaupun terpaksa bersaing dengan dua lagi pemain, Qayyum Marjoni dan Fandi Othman bagi posisi pertahanan kiri.

Jelas Raimi, dia menghormati keupayaan kedua-dua pemain terbabit yang ada pengalaman tersendiri sebelum ini tetapi dia akan terus beri saingan bagi merebut tempat dalam pasukan.

“ Ini sebagai persaingan sihat memandangkan mereka lebih muda daripada saya tetapi mereka berdua juga ada pengalaman tersendiri, jadi satu cabaran bagi saya mendapatkan tempat.

“Saya rasa semakin mampu meningkatkan prestasi dan cuba mengikut rentak taktikal yang dimahukan jurulatih, (Nidzam Adzha), saya akan terus berusaha sedaya mungkin dan kita tengok nanti bagaimana pilihan jurulatih dalam kesebelasan utama.

“ Buat pasukan, saya harap kami akan berusaha mendapat seberapa banyak mata yang boleh dengan cuba meraih satu mata di tempat lawan dan kemenangan di laman sendiri kerana sasaran Kuala Lumpur sememangnya mahu kembali ke Liga Super, musim depan, ” tambah Raimi Mohd Nor lagi.

Kuala Lumpur kini yang masih memiliki rekod tanpa kalah, menduduki tangga keempat Liga Premier hasil dua kemenangan dan dua keputusan seri di belakang Terengganu FC II, Kelantan United dan Pulau Pinang.

Kredit featured image: Kuala Lumpur Hawks

Baca artikel lain dari kami mengenai Shukor Adan:

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN