Pemain sayap lincah Manchester City, Raheem Sterling menegaskan bahawa para pemain perlu diberikan sedikit masa untuk kembali beraksi di pentas kompetitif selepas berehat hampir dua bulan susulan serangan wabak COVID-19.
Kegusaran itu ada kebenarannya kerana selepas hampir dua bulan tidak merasai saingan kompetitif serta turut tidak menikmati sesi latihan formal di padang seperti kebiasaan, ia pasti akan memberikan kesukaran buat para pemain untuk menampilkan corak permainan terbaik mereka.
Sehubungan dengan itu, Sterling mengharapkan agar para pemain diberikan tempoh ‘pra-musim’ sebelum kembali beraksi yang menyaksikan saingan Liga Perdana Inggeris dicadangkan untuk bersambung pada 12 Jun nanti.
”Anda tidak boleh terus kembali beraksi hanya dengan menjalani latihan selama seminggu setengah atau dua minggu. sahaja”
”Anda memerlukan empat atau lima minggu yang penuh [sesi latihan],” ujar Sterling menurut laporan dikeluarkan Goal.
”Terutamanya jika anda ingin kembali menyambung saingan, anda tidak bermain perlawanan persahabatan. Anda turun ke padang untuk meraih kemenangan dan itu semua menjadi perkiraan untuk sesuatu perkara.”
”Anda perlu untuk melakukan persiapan, sudah pasti, anda tidak boleh terus sahaja turun dan beraksi,” tambah Sterling lagi.
Pendapat yang sama turut dikongsi Pemain Wanita Terbaik FIFA 2019, Megan Rapinoe apabila beliau juga beranggapan tidak sewajarnya saingan liga terus sahaja disambung.
”Berapa lama jangka masa saya berada dalam perintah berkurung, itulah juga tempoh ‘pra-musim’ yang saya perlukan. Saya tidak boleh terus kembali beraksi.”