Callum Hudson-Odoi Ditahan Kerana ‘Cederakan’ Model Pakaian Dalam

Callum Hudson-Odoi

Pemain tengah Chelsea, Callum Hudson-Odoi dilaporkan telah ditahan sekitar jam 4 pagi oleh pihak polis selepas menjemput seorang ‘model terkenal’ ke rumahnya di London.

Menurut laporan Reuters, pegawai polis telah menerima satu panggilan dari seorang wanita yang berada di sebuah rumah agam di barat London dan tiba di sana bersama perkhidmatan Ambulan.

Menurut akhbar The Sun, Hudson-Odoi dikatakan mengenali wanita tersebut secara dalam talian dan telah memintanya untuk datang ke rumahnya selepas saling menghantar mesej-mesej bersifat erotis dan ‘menggoda’.

Pemain berusia 19 tahun itu juga dikatakan menghantar sebuah kereta untuk menjemput wanita itu di satu tempat di sekitar London, namun pertemuan mereka di rumahnya itu tidak berjalan dengan baik dan berakhir dengan ‘pergaduhan’.

Wanita yang dilaporkan seorang model pakaian dalam wanita telah dibawa ke hospital selepas mengadu ‘tidak sihat’.

Paramedik kemudian merawat wanita itu sebelum pihak polis bertindak menangkap Hudson-Odoi dan kini masih ditahan untuk proses siasatan.

Sumber mengesahkan polis perkhidmatan polis dan ambulan telah menerima panggilan pada jam 3.53 pagi pada Ahad 17 Mei dari seorang wanita yang mengadu tidak berada dalam keadaan sihat.

Chelsea setakat ini enggan mengulas mengenai laporan berita tersebut.

Hudson-Odoi sebelum ini menjadi pemain Liga Perdana Inggeris pertama yang disahkan positif COVID-19 pada Mac tetapi telah sembuh sepenuhnya daripada virus berkenaan.

Beliau juga sebelum ini pernah menghantar permintaan untuk berpindah dari Chelsea pada 2018 untuk ke kelab Jerman, Bayern Munich, namun akhirnya telah menandatangani lanjutan kontrak baharu pada musim panas lepas.

Musim ini beliau telah membuat 17 penampilan EPL sebelum liga ditangguhkan ekoran pandemik COVID-19 selain tampil buat kali pertama bersama skuad senior England pada tahun lepas dan sudah mengumpul tiga kaps untuk negaranya.

Baca juga artikel kami yang lain mengenai Callum Hudson-Odoi dan Chelsea:

Leave a Reply