Barcelona berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah dalam 5 perlawanan terakhir apabila berjaya mencatatkan kemenangan dengan menewaskan Inter Milan dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah bagi kumpulan B awal pagi tadi.
Perlawanan yang berlangsung di Camp Nou jelas memihak kepada skuad kendalian Ernesto Valverde apabila berjaya memperoleh dua gol menerusi Rafinha di minit ke-32 dan Jordi Alba minit ke-83.
Rafinha yang jarang diturunkan sebagai pemain dalam kesebelasan utama telah berjaya membuktikan bahawa beliau adalah sebahagian pemain yang perlu diberi perhatian oleh Valverde.
Pemain kelahiran Brazil berusia 25 tahun itu turut meluahkan perasaan terujanya selepas namanya tersenarai dalam kesebelasan utama.
Kepercayaan yang diberikan itu telah membuahkan hasil dengan beliau berjaya meledak gol pembukaan untuk perlawanan tersebut.
Kata Rafinha di Goal, “Saya sangat senang kerana saya disenaraikan dalam kesebelasan utama.”
“Saya merasakan ianya amat baik, saya berjaya mencetak gol dan kami telah menang.”
Keputusan positif tersebut memberikan keyakinan tinggi buat Rafinha dan rakan sepasukan untuk menghadapi perlawanan lebih mencabar selepas ini.
Sementara itu, bercakap mengenai persediaan pasukan menjelang aksi EL Clasico, Rafinha menjelaskan beliau menyedari pasukan mereka bakal bertemu dengan lawan yang lebih hebat.
Beliau turut berharap Barcelona mampu untuk mendapatkan keputusan positif dalam perlawanan tersebut.
“Hasil ini memberikan kami banyak kepercayaan diri dan seperti biasa, kami akan tampil yang terbaik pada perlawanan El Clasico pada hujung minggu ini.”
“Kami sangat senang dengan prestasi terbaik ini.”
“Kami sangat gembira menentang pasukan yang akan membuat perkara yang sangat sukar bagi kami, kami akan bermain dengan baik.”
Pertembungan El Clasico antara Barcelona dan Real Madrid dijadualkan akan berlangsung di Camp Nou pada 28 Oktober 2018 pada jam 11.15 malam waktu Malaysia.