Quantcast

BERITA

Hafizul Hakim Dan Nazirul Naim Senada Menjelang Final Piala Malaysia 2018

Penjaga gol Perak, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy menyatakan kepada Sinar Harian yang perlawanan akhir Piala Malaysia musim ini adalah sesuatu yang sangat istimewa buat dirinya.

Ini kerana, dia telah melalui musim yang baik bersama Perak dan juga dapat beraksi untuk skuad kebangsaan serta berkemungkinan bakal tersenarai untuk kejohanan Piala AFF Suzuki 2018.

“Sebenarnya saya tak sangka dapat ke final dan beraksi buat pertama kali dalam final Piala Malaysia kali ini.

“Cukup istimewa bagi saya kerana tahun ini adalah tahun yang paling baik untuk saya.

“Oleh itu, saya harap kesemua pemain dapat bermain sebagai satu pasukan dalam usaha menghasilkan kejayaan,” ujar penjaga gol yang kini berusia 25 tahun itu kepada Sinar Harian.

Hafizul telah membuat kemunculan awal bersama The Bos Gaurus bermula pada musim 2016 dengan cemerlang apabila merekodkan 7 clean sheet daripada 19 penampilannya.

Untuk musim 2018, Hafizul telah mendapat 33 penampilan dan 10 clean sheet. Selain itu, dia dilantik bersama-sama pertahanan, Shahrul Saad sebagai pembantu ketua pasukan, Nasir Basharuddin.

“Untuk final, cuma satu sahaja, kena tingkatkan lagi prestasi. InsyaAllah, semuanya berjalan lancar.

“Kita pernah bertemu Terengganu musim ini, dua kali di Liga Super dan dua kali dalam peringkat kumpulan Piala Malaysia dan ia beri pengajaran kepada kita bagaimana untuk berdepan dengan mereka sekali lagi,” jelasnya lagi.

Selain itu, rakan sepasukannya, Nazirul Naim Che Hashim pula mahu semua pemain bekerja keras di pentas final nanti untuk merealisasikan impian untuk menjulang kejuaraan.

“Final kali ini perlawanan sengit. Suasananya berbeza dengan saingan liga. Yang pasti kedua-dua pasukan akan berikan persembahan terbaik.

“Oleh itu, apa yang penting adalah kita akan bermain sebagai satu pasukan dan setiap unit perlu bekerja lebih keras kerana apa yang kami risaukan adalah persembahan kami sendiri,” tegasnya.

Juara 7 kali, Perak yang dalam misi mahu menamatkan penantian 18 tahun itu akan turun menentang Terengganu FC dalam pentas akhir Piala Malaysia pada Sabtu ini di Stadium Shah Alam.

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!