Pemain tengah berpengaruh, Radja Nainggolan nampaknya tidak mengharungi musim terbaik beliau di Indonesia kini bersama Bhayangkara FC selepas terbaharu, dirinya menjadi mangsa tamparan pemain lawan dalam aksi Liga 1 Indonesia.
Kejadian tersebut berlaku ketika Bhayangkara merekodkan kekalahan besar 1-4 pada 22 Februari lalu di tangan PSS Sleman dengan Radja telah dikasari pemain lawan iaitu Wahyudi Hamisi.
Menerusi perkongsian dibuat Liga1hub di Instagram, Radja telah pun meluahkan rasa tidak puas hati menerusi media sosialnya dengan mengakui Wahyudi terus meminta maaf tanpa mempunyai rasa bersalah atas kejadian tersebut.
Malah, rakan sepasukan lain juga turut mengingatkan kepada Radja supaya berhati-hati jika bertembung dengan pemain tersebut di atas padang untuk mengelakkan diri daripada menjadi mangsa kekasaran.
“Pemain tersebut menampar diri saya tanpa sebarang alasan kukuh. Pertama, beliau berpura-pura dengan tindakan tersebut sebelum memohon maaf kepada saya seolah ianya tidak pernah terjadi.
“Lebih lucu, para pemain lain turut menasihatkan saya untuk tampil berhati-hati dengan pemain tersebut. Siapa tahu, sudah berapa kali dia minta maaf kepada pemain lain dengan membuat kekasaran sama,” ujar Nainggolan tidak berpuas hati.
Menerusi ruangan komen di laman tersebut, ramai yang tidak berpuas hati akan tindakan dibuat oleh Wahyudi serta berharap supaya hukuman berat dapat diberikan buay pemain tersebut.
Tak kurang ada juga mahu Wahyudi diserap masuk ke skuad kebangsaan Sang Garuda untuk aksi menentang Vietnam bagi siri Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 supaya beliau mampu untuk membuat kekasaran kepada pertahanan lawan, Doan Van Hau.
Ini bukan pertama kali sebenarnya Radja menghadapi kesukaran dalam saingan Liga 1 Indonesia kerana terdahulu beliau pernah memberi kritikan keras akan kualiti pengadil di sana.
Radja yang buat pertama kali menyertai saingan liga di Asia Tenggara tampil mengejutkan banyak pihak kerana reputasi tinggi dimilikinya lalu bersama beberapa pasukan gergasi Eropah.
Malah, Radja juga pernah menyarung jersi skuad kebangsaan Belgium serta tampil begitu konsisten di atas padang ketika waktu kemuncak beliau selaku pemain bola sepak profesional.
Walaupun begitu, kehadiran Radja dianggap gagal untuk memberi impak positif buat Bhayangkara yang tampil serba tidak menyakinkan dalam permainan serta terbaharu hanya mampu mencipta keputusan seri tanpa jaringan sewaktu menentang Arema.
Kedudukan ketika ini menyaksikan Bhayangkara berada di tangga ke-17 selepas hanya mampu meraih tiga kemenangan sahaja daripada 28 perlawanan dilalui untuk mengumpul 19 mata secara keseluruhan.