Pemain tengah Cagliari, Radja Nainggolan tidak menolak kemungkinan bahawa beliau akan kembali ke AS Roma yang telah melonjakkan namanya sehingga menjadi tumpuan kelab ternama di Eropah
Nainggolan yang merupakan pemain kelahiran Antwerp, Belgium serta turut mempunyai darah Indonesia meninggalkan AS Roma pada musim 2018/19 untuk menyertai Inter Milan dengan yuran perpindahan bernilai €38 juta.
Antara sebab yang membawa kepada penghijrahan Nainggolan ke kelab yang dikenali sebagai I Nerazzurri itu adalah kerana bekas pengendali AS Roma, Luciano Spalleti dibawa masuk Inter Milan pada musim sebelumnya.
Namun, jodoh mereka berdua tidak panjang apabila hanya semusim kembali bekerjasama, Spalleti dipecat meskipun berjaya melayakkan Inter Milan beraksi dalam Liga Juara-Juara Eropah 2019/20.
Sementara itu, Nainggolan juga kelihatan sedikit bergelut untuk mempamerkan aksi terbaik ketika menyarung jersi Inter Milan dan beliau kemudiannya dipinjamkan ke Cagliari pada musim ini.
Mungkin melihatkan kepada masa depannya di Inter Milan masih lagi terumbang-ambing dan tidak menjadi pilihan kepada Antonio Conte, Nainggolan memberikan isyarat jelas bahawa beliau masih tidak menolak kemungkinan untuk kembali ke AS Roma.
”Saya akan kembali ke Roma. Jika syaratnya berada dalam keadaan baik, saya akan kembali. Pintu akan sentiasa terbuka [kembali ke AS Roma.”
”Saya menikmati tahun-tahun yang indah di sana, di mana mereka [penyokong] menyayangi saya, di mana saya sentiasa memberikan segalanya,” ujar Nainggolan menurut laporan Goal.
Lima musim bersama AS Roma, Radja Nainggolan telah membuat 202 penampilan dalam semua pertandingan disertai dan turut berjaya menjaringkan 33 gol.
Kredit foto: Emilio Andreoli/Getty Images