Australia menewaskan Tunisia 1-0 di Stadium Al Janoub untuk mencetak kemenangan pertama dalam kejohanan Piala Dunia dalam tempoh 12 tahun dan seterusnya memperbaiki kedudukan dalam kumpulan D di belakang juara bertahan Perancis.
Penyerang Mitchell Duke muncul penjaring gol tunggal pada babak pertama menerusi tandukan menewaskan penjaga gol Aymen Dahmen.
Hantaran lintang Craig Goodwin dari sebelah kiri terbias pada pertahanan Tunisia sebelum Duke bijak menanduk bola ke penjuru kanan gawang.
Tunisia turut memiliki peluang untuk menjaringkan gol penyamaan namun percubaan Yousef Msakni hanya sedikit tersasar.
Kemenangan tersebut adalah yang ketiga dalam sejarah penyertaan Australia selepas enam edisi Piala Dunia, mengakhiri kemarau kemenangan dalam tujuh perlawanan sejak kali terakhir melakukannya ketika menewaskan Serbia 1-0 pada 2010.
Ia turut mengembalikan skuad The Socceroos ke landasan terbaik untuk mara ke pusingan kalah mati selepas mereka tewas 4-1 kepada Perancis dalam aksi pertama tempoh hari.
Satu lagi perlawanan kumpulan D menyaksikan Perancis berpeluang untuk mengesahkan kemaraan ke pusingan 16 terakhir jika menewaskan Denmark.