Qatar 2022: Amerika Syarikat Tampil Dengan Ramai Tenaga Muda

  • Pasukan: Amerika Syarikat
  • Benua: Amerika Utara
  • Kali terakhir layak: 2014
  • Pencapaian terbaik: Tempat ketiga (1930)

Amerika Syarikat (USA) berjaya untuk melayakkan diri sekali lagi ke saingan Piala Dunia di Qatar, setelah sebelum itu mereka gagal melakukannya pada tahun 2018.

Tampil dengan beberapa pemain yang berada dalam prestasi terbaik, USA dilihat mampu untuk memberi cabaran buat negara-negara lain terutama sekali di peringkat kumpulan.

Pasukan yang dikendalikan oleh Gregg Berhalter itu ditempatkan dalam Kumpulan B bersama Wales, Iran, dan salah satu pasukan pilihan ramai iaitu England.

USA telah pun mengumumkan barisan pemain yang bakal dibawa untuk saingan di Qatar nanti dengan menyaksikan 26 nama telah pun dipilih.

Penjaga gol senior, Zack Steffen dan Ricardo Pepi antara pemain yang mencipta kejutan apabila kedua mereka ini tidak terpilih untuk ke saingan Piala Dunia 2022.

Lebih unik, mereka juga menyenaraikan tiga pemain berusia 21 tahun untuk turut sama bersaing dalam kejohanan bola sepak terbesar dunia itu untuk edisi kali ini.

Rintangan peringkat kelayakan

Perjalanan USA untuk melayakkan diri ke Piala Dunia edisi kali ini tidak begitu mudah, apabila beberapa keputusan dicatat agak hambar dan tidak konsisten.

Negara tersebut menjadi pasukan ketiga yang melayakkan diri ke Piala Dunia untuk zon Concacaf dan berada di belakang Kanada dan Mexico dengan pungutan 25 mata dicatat.

Daripada 14 perlawanan dihadapi USA, pasukan tersebut mencatat tujuh kemenangan, empat kali seri, serta tiga kekalahan selain dibolosi 10 gol.

Dua aksi antarabangsa terakhir membabitkan USA menyaksikan pasukan tersebut agak bergelut di posisi serangan mereka ketika bertemu Arab Saudi dan Jepun.

Hanya dua percubaan tepat dilakukan USA ketika bertemu Arab Saudi, serta langsung tiada sebarang gol terhasil sewaktu bertemu Jepun menjadikan pasukan tersebut perlu mengatasi krisis di bahagian serangan.

Cristian Pulisic senjata utama USA

Pulisic menjadi salah seorang pemain harapan para penyokong USA untuk memberi sesuatu yang positif buat pasukan tersebut dalam saingan Piala Dunia kali ini.

Namun, rekod semasa Pulisic bersama Chelsea ketika ini dilihat agak meresahkan, apabila pemain tersebut hanya meledak satu gol serta satu bantuan jaringan sahaja daripada 12 penampilan.

Malah, pemain tersebut seolah agak terpinggir apabila hanya tiga kali diletakkan dalam senarai kesebelasan utama untuk musim ini bersama Chelsea.

Di peringkat kelayakan Piala Dunia sebelum ini, Pulisic tampil selaku penjaring terbanyak buat USA apabila berjaya menjaringkan lima gol secara keseluruhan.

Walaupun rekod yang dicatat Pulisic agak lesu bersama kelab, pengalaman yang ada pada beliau jelas perlu digunakan sebaik mungkin untuk memacu serangan buat USA di Qatar nanti.

Tumpuan kepada Brenden Aaronson

Pemain muda yang menjadi salah seorang tonggak serangan buat Leeds United ini berjaya mempamerkan aksi yang cukup positif bersama pasukan diwakilinya.

13 perlawanan beraksi dalam senarai kesebelasan utama, Aaronson mungkin tidak begitu menyerah dari segi penghasilan gol dan bantuan jaringan, namun kelicikannya berjaya memberi masalah buat pertahanan lawan.

Dijangka pemain berusia 22 tahun ini bakal tampil menyerlah di pentas dunia sekiranya konsistensi bersama kelab turut dikekalkan bersama pasukan negara.

Peluang untuk USA?

Secara keseluruhan, tidak banyak dapat diperkatakan mengenai pasukan ini yang dilihat agak lemah di bahagian serangan menerusi rekod perlawanan lalu dihadapi mereka.

Positifnya, USA dilihat berani untuk menggunakan lebih ramai khidmat pemain muda termasuk dua pemain berusia bawah 20 tahun untuk saingan edisi kali ini.

Cabaran terbesar mereka di peringkat kumpulan ialah England yang dilihat serba kuat di segenap posisi, apabila Gareth Southgate menyenaraikan beberapa pemain bintang yang konsisten bersama kelab seperti James Maddison.

Dua lagi negara iaitu Wales dan Iran dilihat seimbang dari segi kekuatan untuk dihadapi USA dalam perlawanan peringkat kumpulan.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN