Sri Pahang terus dihambat dengan siri kekalahan kedua berturut-turut dengan terbaharu mereka ditewaskan oleh Kuala Lumpur City (KL City) di laman sendiri, semalam.
Dua jaringan daripada Muhammad Haqimi Azim Bin Rosli dan Zhafri Yahya cukup untuk memberi tiga mata penuh buat skuad Bojan Hodak di Stadium Darul Makmur, sekaligus merampas kembali kedudukan kelima Liga Super.
Sri Pahang yang mengalami kekalahan itu pula berada di tangga ketujuh carta liga dengan 21 mata diraih untuk berada di belakang Kedah Darul Aman (KDA).
KEPUTUSAN MASA PENUH – LS18
Kuala Lumpur City FC mengutip tiga mata penuh di Kuantan.#LigaSuper2022 pic.twitter.com/5nmCioSEoV
— Malaysian Football League (@MFL_MY) September 11, 2022
Kekalahan Sri Pahang itu pastinya memberi pengajaran berguna untuk Dato’ Dollah Salleh menilai kembali segala ruang kelemahan mereka untuk diperbaiki.
Berikut beberapa faktor mengapa Sri Pahang ditewaskan oleh KL City semalam, di laman sendiri dalam aksi Liga Super 2022.
Struktur pertahanan yang longgar
Barisan pertahanan Sri Pahang semalam boleh dianggap tidak stabil di segenap posisi apabila lawan sering mudah mengatasi mereka sepanjang perlawanan berlangsung.
Dengan formasi tiga pertahanan digunakan semalam, Sri Pahang mengalami kesukaran untuk menstabilkan diri mereka ketika ditekan pihak lawan.
31' GOL | Pemain muda berusia 19 tahun, Haqimi Azim Rosli menjaringkan gol pendahuluan KL City!@OfficialPahang 0-1 @KLCityFootball #LigaSuper2022 pic.twitter.com/qPTjiJWPrN
— Malaysian Football League (@MFL_MY) September 11, 2022
Gandingan Nick Swirad dan pemain import, Sherzod Fayziev juga agak lemah untuk mencabar bola di udara yang dieksploitasi dengan mudah oleh barisan serangan KL City.
Jika tak disebabkan oleh kecekapan penjaga gol mereka iaitu Mamadou Samassa, mungkin pasukan tersebut dibolosi dengan lebih banyak jaringan.
Hub kreativiti serangan Sri Pahang terjejas
Pada perlawanan semalam, segala bentuk serangan yang cuba dirangkai oleh pasukan tuan rumah sering dipatahkan dengan mudah oleh pertahanan KL City.
Mobiliti serta kreativiti yang diharapkan daripada pemain seperti Azam Azih, Kevin Ingresso, dan Manuel Hidalgo juga gagal diterjemahkan dengan baik sepanjang aksi berlangsung.
Malah, Sri Pahang seolah tidak mempunyai kepelbagaian pelan untuk menembusi benteng pertahanan lawan dan lebih bergantung harap kepada gerakan individu untuk menjana segalanya.
Stamina pemain Sri Pahang menurun
Pada pertengahan separuh masa kedua jelas para pemain Sri Pahang tidak lagi konsisten untuk terus meningkatkan intensiti permainan.
Ini disebabkan beberapa mereka jelas agak penat untuk terus kekal konsisten dalam perlawanan tersebut dan sering kehilangan fokus untuk diambil peluang oleh pelawat melancarkan serangan balas.
72' GOL | Zhafri Yahya menjaringkan gol kedua KL City!@OfficialPahang 0-2 @KLCityFootball #LigaSuper2022 pic.twitter.com/nl2UFZP5AY
— Malaysian Football League (@MFL_MY) September 11, 2022
Berdasarkan siri perlawanan sebelum ini yang dihadapi pasukan tersebut, jelas isu stamina menghantui Sri Pahang dan pengendali kelab itu perlu mengatasinya agar tidak menjadi masalah untuk aksi-aksi akan datang.