Graduan Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Aniq Asri Nasharudin, juga anak kepada lagenda rock tanah air, Nash Lefthanded akhirnya kembali dari latihan di akademi FC Malaga City menyertai Penang FC pada musim depan.
Menyertai akademi terkemuka di Sepanyol itu pada Jun 2020, Aniq Asri telah berlatih di sana untuk tempoh lebih kurang setahun lebih sebelum kembali. Dan penyertaannya bersama Penang dilihat amat berbaloi.
Ini kerana, skuad Harimau Kumbang tidak pernah ‘segan’ mengangkat bakat muda dalam memberi mereka ruang untuk berkembang seperti yang dilalui beberapa pemain antaranya Azmeer Aris dan Quentin Cheng.
Walaupun tidak diumumkan sebagai pemain utama mereka, Aniq Asri telah diletakkan bersama skuad Piala Presiden yang dikendalikan oleh lagenda bola sepak Kedah, Akmal Rizal Ahmad Rakhli bermula musim ini. Akmal Rizal merupakan penolong jurulatih skuad utama bersama Manzoor Azwira dalam saingan musim lalu.
Pihak pengurusan dalam sesi ‘Meet and Greet’ bersama penyokong pada 31 Disember lalu telah menjelaskan projek jangka panjang iaitu skuad Piala Presiden akan dijadikan ‘hub’ buat pemain ‘backup’ jika nanti pasukan kehilangan pemain-pemain dari skuad utama dengan menerapkan awal falsafah permainan yang sama.
Disebabkan itu, penolong jurulatih skuad utama, Akmal Rizal diturunkan ke skuad Piala Presiden. Menurut pihak pengurusan, disebabkan Penang tiada skuad kedua seperti Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu FC, inilah kaedah yang sesuai buat skuad Pulau Mutiara untuk tidak mengalami masalah kekurangan pemain selepas ini.
Musim lalu, disebabkan pandemik Covid-19 dan apabila beberapa pemain utama didapati positif serta dihalang untuk turun beraksi, Penang tampak bergelut malah dalam salah satu perlawanan itu, mereka tewas 1-4 kepada musuh ketat, Kedah Darul Aman FC. Perkara ini yang telah memberi pengajaran besar buat pihak pengurusan.
Oleh itu, pemain berbakat seperti Aniq Asri tentunya antara calon utama untuk dijadikan pemain yang akan beraksi dalam skuad Piala Presiden dan utama pada musim depan. Aniq Asri telah dihantar bapanya, Nash Lefthanded ke Sepanyol atas perbelanjaan sendiri disebabkan minat mendalam anaknya dalam bola sepak.
#bolatime #malaga Misi menakluk bumi Sepanyol kini bermula buat anak penyanyi rock terkenal negara Nash Lefthanded, Aniq Asri yang berangkat ke Eropah malam semalam untuk menyambung latihan di akademi bola sepak FC Malaga City. https://t.co/sH72f7F9re
— Harian Metro (@hmetromy) January 16, 2021
Sebelum ke akademi tersebut, Aniq Asri merupakan pemain belia UiTM FC dan pemergiannya ke sana adalah untuk cuba menarik perhatian kelab-kelab di sana. Ujarnya sebelum ini, “Sasaran utama adalah untuk dapat tempat dalam pasukan. Mana tahu dapat dipanggil oleh kelab lain macam Real Madrid atau Villarreal.”
Dalam pengumuman dibuat semalam, Penang FC dipetik berkata, “Penang FC rasa amat bertuah apabila pasukan Piala Presiden turut disertai oleh seorang pemain yang merupakan anak artis tersohor negara.”
“Beliau mendapat perhatian dan dilamar akademi bola sepak iaitu FC Malaga City,” tambah kenyataan itu.