5 Jurulatih Paling Popular Dikaitkan Dengan Jawatan Ketua Jurulatih Harimau Malaya

Sejak Tan Cheng Hoe mengumumkan peletakkan jawatan sebagai Ketua Jurulatih skuad Harimau Malaya, beberapa nama telah dikaitkan sebagai pengganti.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pula berkata pelantikan hanya akan dilakukan seawal Februari nanti selepas menilai calon-calon yang berkelayakkan.

Berikut adalah lima calon paling popular yang kini dikaitkan dengan kekosongan tersebut.

Bojan Hodak

Ketua Jurulatih KL City FC ini kini dianggap sebagai antara pilihan utama oleh ramai untuk mengisi kerusi panas yang ditinggalkan oleh Tan Cheng Hoe.

Merupakan seorang jurulatih yang berpengalaman kerana pernah mengendalikan beberapa pasukan di Liga Malaysia seperti UPB-MyTeam, Kelantan, JDT, dan Pulau Pinang, saham Hodak mulai melonjak selepas berjaya membawa KL City FC muncul juara Piala Malaysia pada musim lalu.

bojan hodak

Beberapa laporan media turut mendedahkan Hodak tidak menolak kemungkinan untuk menerima jawatan Ketua Jurulatih skuad kebangsaan sekiranya ditawarkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) – dengan syarat tertentu.

KL City FC juga dikatakan tidak mempunyai halangan untuk melepaskan Hodak sekiranya diperlukan. Namun sehingga kini belum ada sebarang rundingan dilakukan di antara kedua-dua pihak, dan fokus Hodak pada ketika ini hanya kepada KL City FC.

Brad Maloney

Sudah bersama FAM dengan pelbagai peranan kejurulatihan sejak 2014, jurulatih berasal dari Australia ini juga antara yang dicanang bakal mengambil alih peranan Tan Cheng Hoe bersama skuad senior negara.

Karier kejurulatihan Brad Maloney bermula bersama skuad B-19 dan B-23 negara sebagai pembantu jurulatih kepada Datuk Ong Kim Swee. Pada hari ini beliau adalah Ketua Jurulatih skuad B-23 negara.

Brad Maloney skuad B-20 Olimpik 2024 Kelayakan Piala Asia B-23
FOTO: FAM

Selepas hampir tujuh tahun bersama FAM, Brad Maloney dianggap sebagai antara jurulatih yang mempunyai pengalaman dan mengenali pemain untuk membentuk sebuah pasukan yang mampu bersaing di rantau Asia Tenggara.

Antara kejayaan Brad Maloney setakat ini ialah apabila beliau berjaya membawa skuad B-23 negara ke pusingan akhir Piala Asia B-23 2022 secara merit yang akan berlangsung di Uzebekistan pada pertenghan tahun ini.

Benjamin Mora

Ketua Jurulatih JDT ini dianggap sebagai salah seorang jurulatih paling berjaya di dalam kancah bola sepak tempatan.

Tiga kejuaraan Liga Super Malaysia pada 2019, 2020 dan 2021, satu kejuaraan Piala Malaysia pada 2019, dan dua trofi Piala Sumbangsih pada 2020 dan 2021 bermakna Mora memiliki CV yang cukup menarik untuk dipertimbangkan sebagai pengganti Tan Cheng Hoe.

Benjamin Mora JDT formasi taktikal Ratchaburi FC ACL 2021
FOTO: JST

Mengambil kira ramai pemain pasukan negara beraksi bersama JDT, Mora dianggap tidak mempunyai masalah menerapkan idea taktikal berintensiti tinggi seperti mana yang dipamerkan bersama JDT di dalam pasukan kebangsaan.

Jika ada satu perkara yang membuatkan ramai ragu mengenai keupayaan Mora, ia adalah pengalaman beliau yang tidak pernah mengendalikan perlawanan antarabangsa yang sememangnya berbeza dengan saingan domestik. Sekurang-kurangnya pengalaman beliau di pertandingan AFC Champions League bersama JDT selama ini boleh membantu,

Kiatisuk Senamuang

Seperti yang dilaporkan oleh rakan media Vocket FC semalam, nama legenda bola sepak Thailand, Kiatisuk Senamuang tiba-tiba menjadi sebutan dan dianggap antara calon berpotensi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Tan Cheng Hoe.

Laporan asal datangnya daripad media terkenal Thailand, Thairath yang melaporkan FAM bersedia untuk mempertimbangkan Kiatisuk Senamuang sebagai calon walaupun beliau ketika ini merupakan ketua jurulatih kelab Hoang Anh Gia Lai (HAGL) dalam sainga V.League.

Picture by Thananuwat Srirasant/Lagardere Sport.

Lebih dikenali sebagai Zico, beliau dilantik sebagai pengendali HAGL pada 20 November 2020 dengan kontrak selama 2 tahun. Ini bermakna kontraknya bersama kelab itu masih perlu ditebus sekiranya benar FAM mahukan khidmat jurulatih itu

Kiatisuk Senamuang sebenarnya memiliki rekod yang agak baik di pentas antarabangsa selaku Ketua Jurulatih Thailand sebelum ini.

Beliau mulai mengambil peranan sebagai ketua jurulatih kebangsaan Thailand selepas berjaya membawa skuad Thailand B-23 mara ke peringkat separuh akhir Sukan Asia 2014 di Korea Selatan.

Beliau kemudiannya membimbing skuad kebangsaan Thailand sehingga tahun 2017 dan sepanjang tempoh 3 tahun itu Kiatisuk Senamuang berjaya menjuarai kejohanan AFF Suzuki Cup 2014 dan 2016, selain membawa Thailand ke pusingan akhir kelayakan Piala Dunia 2018 Zon Asia.

Lim Teong Kim

Bekas pengarah projek Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP), Lim Teong Kim pula merupakan antara calon popular di kalangan penyokong bola sepak tempatan untuk mengambil alih jawatan Ketua Jurulatih Harimau Malaya.

Ketika bercakap kepada portal Cakap Sukan, bekas jurulatih akademi Bayern Munich itu berkata: “Jika ada tawaran, apa salahnya selagi ianya mengikut terma dan syarat saya sendiri. Selagi ianya mengikut terma dan syarat-syarat tersebut, sudah tentu kita semua boleh bekerjasama.

“Saya juga boleh bekerjasama dengan sesiapa sahaja selagi mereka tidak mencampuri urusan kerja saya.”

Lim Teong Kim kini tidak terikat dengan mana-mana pasukan selepas gagal memenuhi sasaran yang beliau tetapkan sendiri membawa skuad B-16 negara mara ke Piala Dunia B-17 pada 2016.

Merupakan seorang jurulatih yang lantang mengkritik sistem bola sepak negara, mungkin peluang turut perlu diberikan kepada beliau untuk memperbetulkan keadaan sekaligus membuktikan kemampuan sebenar beliau.

Rumusan

Satu perkara yang pasti, siapa pun yang akan dilantik nanti sasaran awal dan wajib dipenuhi ialah memastikan pasukan negara berjaya mengharungi pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2023, sekaligus melayakkan diri ke kejohanan tersebut pada Jun nanti.

Hakikatnya tidak mudah untuk memilih calon yang benar-benar layak. Wajarkah FAM memberi peluang kepada lima calon di atas? Atau perlukah FAM melantik jurulatih asing lain yang lebih berkelayakkan?

Apakah pendapat anda? Nyatakan komen dan pendapat anda melalui saluran dan platform yang kami sediakan.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN