Penantian bagi mencari juara Selangor Champions League 2018 akhirnya terjawab selepas Puchong Fuerza FC cemerlang menundukkan KRU Port Klang FC 3-0 pada perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Shah Alam, malam semalam.
Kedua-dua pasukan yang merupakan antara pilihan juara sejak dari awal saingan kumpulan mempamerkan corak permainan pantas yang menghiburkan di atas permukaan padang yang basah.
Nor Nahrul Hayat Nordin hampir meletakkan KRU Port Klang FC dihadapan seawal minit ke-4 menerusi rembatan dari luar kawasan penalti.
Penjaga gol Puchong Fuerza, Gabriel Sunday bagaimanapun bertindak pantas menepis percubaan tersebut untuk menyelamatkan gawangnya dari dibolosi.
Gerakan yang cuba dilancarkan Puchong Fuerza bagi mencari Afiq Azmi di jentera serangan di babak pertama gagal menjelmakan hasil yang diharapkan untuk aksi babak pertama terikat tanpa jaringan.
Seperti mendapat tonik berguna di bilik persalinan, pemain Puchong Fuerza mempamerkan corak permainan lebih ampuh ketika perlawanan kembali bersambung.
Ia terbukti apabila anak buah Nazrulerwan Makmor itu tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan.
Baru lima minit permainan disambung, Afiq Azmi memberikan kegembiraan buat kem Puchong Fuerza selepas beliau yang tidak dikawal dalam kawasan penalti lawan menolak mudah bola hantaran Hakim Zainal untuk jaringan pendahuluan.
Hakim Zainal menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-60 selepas berjaya menanduk masuk bola hasil hantaran lintang berpunca larian deras dari sebelah kiri pintu gol KRU Port Klang dilakukan Haikal Mat Radzi, sekali lagi membolosi gawang yang dikawal Sulaiman Ramlan.
Dua jaringan yang terhasil nyata menjadi pembakar semangat buat para pemain Puchong Fuerza untuk terus mencipta jaringan dan usaha mereka berhasil pada minit ke-66.
Afiq Azmi sekali lagi meletakkan nama selaku penjaring apabila berada di tempat yang tepat untuk melakukan percubaan susulan ekoran percubaan yang dilakukan dalam kotak penalti oleh Norismaidham Ismail terkena palang gol.
Ketinggalan tiga gol itu tidak mampu dikejar KRU Port Klang FC untuk berpuas hati menamatkan saingan di tempat kedua sekaligus menobatkan Puchong Fuerza selaku juara bagi edisi ke-3 ini.
Selain daripada meraih hadiah wang tunai RM14,000, Puchong Fuerza juga mendapat slot untuk beraksi dalam saingan Piala FA Malaysia 2019 serta mendapat tajaan daripada Kaki Jersi bagi mengharungi saingan Piala FA nanti.
KRU Port Klang FC yang mempamerkan aksi menarik pada edisi kali ini menerima hadiah wang tunai bernilai RM8,000.
Pelbagai aktiviti menarik berlangsung sebelum perlawanan akhir ini antaranya perlawanan pertunjukan di antara Legenda Selangor (Selangor Selection) menentang Dugong Allstars yang berkesudahan kemenangan 5-0 memihak Selangor Selection.
Kredit foto: Asiana.my