Jika pemain bola sepak di Malaysia mempunyai cuti liga ketika bulan Ramadan, pemain bola sepak di Eropah pula tidak mendapat kebebasan sebegitu.
Ini kerana kebiasaannya (sejak beberapa tahun kebelakangan ini), Ramadan jatuh pada musim panas. Dan dalam kalender bola sepak Eropah, musim panas adalah waktu berlangsungnya kejohanan antarabangsa seperti Piala Dunia dan EURO Championship.
Dihimpit dilema sama ada mahu berpuasa di bulan Ramadan atau meninggalkannya (dan meng-qada pada masa lain), maka tak hairanlah pendirian pemain Muslim di Eropah berbeza-beza.
Pemain Perancis beragama Islam tidak berpuasa
Pada kejohanan EURO 2016, akhbar Perancis, L’Equipe melaporkan pemain skuad kebangsaan Perancis yang beragama Islam tidak akan berpuasa sepanjang kejohanan.
Keputusan ini diambil pemain-pemain setelah berbincang dengan staf perubatan Les Bleus. Semasa Piala Dunia 2014 juga, pemain Muslim Perancis tidak berpuasa.
Menurut Didier Deschamps, pemain-pemain Muslim seperti Paul Pogba, Adil Rami, N’golo Kanté, Bacary Sagna dan Moussa Sissoko tidak akan berpuasa sehingga habis kejohanan.
Deschamps turut memberitahu pemain-pemain Muslim disediakan ‘halal buffet’ yang disediakan khas oleh chef Muslim.
“Adalah penting untuk memastikan pemain-pemain saya selesa.”
Sementara itu ketika mengulas isu tersebut sebelum EURO 2016, Bacary Sagna memberitahu beliau akan mengganti puasa beliau pada hujung tahun 2016.
Pemain Belgium, Sweden dan Jerman juga tak berpuasa
Semasa kempen Piala Dunia 2014, Mesut Ozil turut memberitahu beliau tidak akan berpuasa:
“Saya perlu bekerja dan akan terus bekerja. Jadi saya tak boleh berpuasa. Cuaca terlalu panas. Kami pula ada latihan dan perlawanan yang intensif. Mustahil untuk saya berpuasa pada tahun ini.”
Memandangkan Ramadan 2016 jatuh ketika berlangsungnya EURO 2016, adalah selamat untuk kita menganggap – Ozil tidak berpuasa pada bulan Ramadan ketika itu.
Shkodran Mustafi, Emre Can dan Sami Khedira juga dilaporkan oleh akhbar Jerman, BILD takkan berpuasa.
Sementara itu, pemain-pemain Muslim Belgium seperti Marouane Fellaini dan Moussa Dembele juga dilaporkan tidak akan berpuasa. Begitu juga dengan penyerang Sweden, Emir Kujovic yang memberitahu media, “Bila saya balik Sweden nanti, saya ganti.”
Turki dan Albania beri pilihan
Bagi pemain-pemain kem Turki dan Albania, pegawai pasukan mereka memberi pilihan kepada pemain-pemain sama ada untuk berpuasa atau tidak.
Bagaimanapun menurut sumber dari Marca, semua pemain Turki dan Albania mengambil keputusan untuk tidak berpuasa selagi pasukan mereka kekal dalam saingan Piala Eropah 2016.
Hal ini disahkan oleh ketua jurulatih Turki, Fatih Terim.
“Perkara ini sudah banyak kali berlaku dalam karier kejurulatihan saya. Ia tiada masalah.”
“Jika kami tiada perlawanan, pemain-pemain akan berpuasa walaupun ada 2 sesi latihan. Tapi jika ada perlawanan, kami takkan berpuasa kerana (dehidrasi) penting untuk kesihatan pemain.”
Bagaimanpun kenyataan Terim (gambar bawah) ini mengundang kontroversi di Turki kerana didakwa memberi ‘fatwa’ tentang pengertian berpuasa.
Kenyataan Fatih Terim ini ditempelak oleh imam Turki, Cübbeli Ahmet Hoca yang membalas:
“Beliau (Fatih Terim) perlu fokus kepada kerjanya sahaja. Jangan memandai-mandai memberi fatwa.”
“Jika cuaca panas dan beliau melakukan 2 sesi latihan pula, itu sudah memudaratkan pemain. Kalau anda mewajibkan 2 sesi latihan, jangan suruh pemain berpuasa.”
“Kenapa beliau nak membahayakan nyawa pemain-pemain?”
Cameroon cuba eksploit kewajipan berpuasa Maghribi
Pada 10 Jun 2017 (15 Ramadan) ini, Cameroon akan melayan kunjungan Maghribi dalam perlawanan kelayakan African Cup of Nations (AFCON) 2019. Apa yang menariknya tentang perlawanan ini adalah ia diadakan pada pukul 3 petang.
“Waktu 3 petang yang ditetapkan oleh Cameroon memang sengaja dipilih untuk melemahkan pemain Maghribi yang berpuasa,” kata Mustapha Hadji, penolong jurulatih kebangsaan Maghribi.
Maghribi perlu menang atau seri dalam perlawanan ini untuk layak ke AFCON 2019.
Ketua jurulatih kebangsaan Maghribi, Hervé Renard yang memberi kelonggaran kepada pemainnya sama ada mahu berpuasa atau meninggalkan puasa menganggap perbuatan Cameroon itu sebagai ‘cubaan terdesak yang murah’.
Rumusan
Perkara yang paling utama dan perlu perlu difahami oleh semua pembaca adalah – Islam bukan agama yang menyusahkan.
Institut Al-Azhar telah pun menasihati Majlis Muslim Jerman yang mengeluarkan fatwa:
“Mana-mana pemain bola sepak di bawah kontrak, di mana bola sepak adalah satu-satunya sumber pendapatan mereka, dibenarkan tidak berpuasa supaya persembahan kerjanya tak terganggu.”
Pemain-pemain boleh memilih untuk tidak berpuasa asalkan mereka menggantikannya (meng-qada) puasa tersebut pada hari lain.