Juara bertahan Paris Saint-Germain (PSG) menewaskan Reim 4-1 pada malam tadi untuk menjadi pasukan keempat sepanjang sejarah Ligue 1 untuk merekodkan tujuh kemenangan secara berturut-turut.
Edinson Cavani menjaringkan dua gol selepas Reim mengejutkan PSG dengan gol pendahulan selepas dua minit perlawanan berlangsung melalui Xavier Chavalerin.
Neymar kemudiannya menyempurnakan sepakan penalti, sebelum Thomas Meunir melengkapkan kemenangan bergaya PSG.
Sebelum ini hanya Olympique Lillois, Lille dan Monaco yang pernah merekodkan tujuh kemenangan pertama di Ligue 1.
Penyerang antarabangsa Brazil, Neymar menjaringkan terlibat dalam enam gol dari lima penampilan liga setakat ini melalui empat gol dan 2 bantuan gol.
Satu-satunya kekalahan PSG setakat ini ialah ketika berhadapan dengan Liverpool dalam pertandingan UEFA Champions League pada bulan ini.
Pengurus PSG, Thomas Tuchel mendedahkan bagaimana perubahan taktikal oleh beliau terhadap Neymar mampu membantu pasukannua untuk kempen seterusnya pada musim ini.
Sebelum ini Neymar kerap beraksi sebagai pemain sayap menyerang, sejak menyertai PSG pada Ogos 2017 yang lalu. Unai Emery mengekalkan posisi yang sama seperti ketika pemain tersebut beraksi bersama Barcelona.
Tetapi Tuchel mempunyai idea lain dengan meletakkan pemain tersebut di posisi No.10 berperanan sebagai perancang utama pasukan.
Segalanya bermula ketika perlawanan menentang Rennes pada Ahad lalu. Neymar beraksi di posisi biasa beliau di sebelah kiri pada permulaan perlawanan, sebelum Tuchel mengarahkan pemain tersebut untuk lebih aktif di bahagian tengah pasukan di belakang Cavani pada babak kedua.
Hasilnya, Neymar memainkan peranan penting dalam penghasilan gol oleh Thomas Meunir dan Eric Maxim Choupo-Moting dalam kemenangan 3-1 menentang Rennes.
“Sudah tentu Neymar gemar beraksi di posisi tesebut, dan kami juga mahu beliau berperanan sebagai No.10. Ia membenarkan beliau lebih banyak peluang terlibat dengan permainan di fasa menyerang,” ujar Tuchel.
“Di posisi terebut, Neymar akan memiliki lebih banyak kebebesan dan menjadi fokal serangan pasukan. Ia memberi peluang kepada beliau terlibat dalam setiap serangan pasukan,” tambah beliau lagi.
Tidak dapat dipastikan jika posisi tersebut akan terus kekal menjadi milik Neymar dalam perlawanan akan datang. Ia pastinya teruji ketika PSG membawa cabaran di pertandingan UEFA Champions League bermula dengan Red Star Belgrade pada 4 Oktober, sebelum Napoli bertandang ke Parc des Princes selepas itu.