Kontroversi pergaduhan dalam dunia bola sepak kini boleh dikatakan sangat kerap berlaku dan membabitkan pelbagai lapisan usia sehingga ada sesetengahnya mengakibatkan kecederaan parah turut berlaku.
Tidak hanya membabitkan pemain dewasa, ianya juga kerap terjadi kini dengan menyaksikan sesetengah program akar umbi turut terpalit dengan isu sama.
Jika sebelum ini tular pergaduhan dalam saingan Piala Belia membabitkan antara Melaka FA dan Sri Pahang sehingga menyaksikan campur tangan pihak polis untuk menyelesaikannya.
Terbaharu, Kedah turut sama terpalit dengan isu tersebut selepas ada video tular di media sosial dengan menunjukkan pergaduhan antara sekelompok pemain muda dari Sekolah Menengah Mahawangsa bersama pengadil perlawanan ketika menentang Sekolah Menengah Jitra.
Menerusi klip video tersebut, beberapa pemain terlibat dengan pergaduhan bersama pengadil sehingga situasi tampil tidak terkawal sebelum orang ramai menenangkan keadaan.
Hasil sumber yang kami peroleh, provokasi melampau daripada jurulatih perlawanan dari tepi padang menyebabkan pergaduhan tersebut mula tercetus.
Menurut sumber, aksi tersebut sebenarnya membabitkan antara dua sekolah tempatan bagi aksi peringkat MSSD bawah 18 (B-18) dengan masing-masing dikatakan terdesak memburu kemenangan di Kubang Pasu.
“Kalau ikutkan, perlawanan tu memang sengit sebab kedua mereka nak catat kemenangan walaupun masing-masing sudah melayakkan diri ke pusingan seterusnya.
“Situasi tercetus selepas salah seorang jurulatih merangkap guru SM Mahawangsa mencetuskan provokasi sehingga mengeluarkan kata-kata keterlaluan dan boleh saya kata sangat tidak wajar kepada pengadil bertugas.
“Apatah lagi ketika itu SM Jitra sedang mendahului perlawanan dan ada situasi pemain SM Mahawangsa kononnya dikasari sebelum pengadil tidak menganggap sebagai ‘foul’.
“Kemuncaknya, apabila giliran pemain dari SM Mahawangsa meledak gol tetapi pengadil dari tepi padang membatalkannya kerana menyatakan penjaga gol SM jitra terlebih dahulu telah dikasari.
“Akibatnya jurulatih SM Mahawangsa mula menyerang pengadil bertugas sebelum kekalutan berlaku kerana Kapten sekolah tersebut sendiri memukul pengadil tersebut.
“Tidak berpuas hati diserang pemain tersebut, pengadil berkenaan ingin membalas kembali sebelum orang ramai di sekitar kawasan menenangkan beliau seketika,” jelas sumber tersebut.
Pada masa sama, sumber turut menyatakan perlawanan tersebut sebenarnya sudah pun menuju ke garisan penamat dan Kapten SM Mahawangsa turut dilayangkan kad merah kerana kejadian itu.
Selain itu, beliau juga mengakui turut menyarankan kepada pengadil tersebut untuk membuat laporan polis bagi mengelakkan fitnah di media sosial berleluasa kerana salah faham.