Ahmad Syihan Hazmi akhirnya mendapat peluang yang dinanti-nantikan dalam karier profesionalnya selepas disenaraikan dalam kesebelasan utama untuk perlawanan terakhir Malaysia dalam pusingan Kelayakan Piala Asia 2023 menentang Bangladesh.
Penjaga gol Negeri Sembilan itu mendapat kepercayaan pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan Gon untuk menjadi benteng terakhir dalam misi pasukan negara untuk layak ke pusingan akhir secara merit.
Separuh Masa
Kumpulan E • Kelayakan Piala Asia 2023 | Selasa, 14 Jun 2022
MALAYSIA 🇲🇾 2-1 🇧🇩 BANGLADESH
⚽️ Safawi Rasid 16' (P) Dion Cools 38'
⚽️ Mohammad Ibrahim 31'#FAM #HarimauMalaya #ACQ2023 pic.twitter.com/RbLveGrBlc— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) June 14, 2022
Kali terakhir Syihan mendapat beraksi mewakili negara adalah ketika beraksi bersama skuad bawah 19 tahun (B-19) pada usia 17 tahun untuk perlawanan tidak rasmi menentang Palestin.
Aksi Syihan bersama Negeri Sembilan sejak musim lalu telah mencuri perhatian banyak pihak di mana ketangkasannya telah membantu skuad Jang muncul juara Liga Premier musim 2021.
Pada musim ini pula, beliau masih mengekalkan prestasi konsistennya dan ia terbukti berdasarkan statistik ringkas yang disediakan oleh Data Sukan.
Berdasarkan perbandingan yang dibuat antara Syihan bersama tiga penjaga gol negara lain iaitu Farizal Marlias, Khairulazhan Khalid dan Kalamullah Al-Hafiz, ternyata penjaga gol berusia 26 tahun itu mencatat rekod yang lebih baik.
Dalam tujuh penampulan, beliau telah merekodkan 81 peratus rekod menyelamat.
Jika melihat rekod ‘Expected Conceded’ (xCG), semakin jelas yang penjaga gol berusia 26 tahun itu adalah yang terbaik. Beliau dijangkakan akan melepas 8.74 gol, namun beliau hanya melepaskan tujuh gol – kurang satu gol daripada sepatutnya.
Maka tidak hairanlah mengapa beliau menjadi pilihan utama Kim Pan-gon untuk perlawanan penting yang dijangka menjadi platform terbaik untuk Malaysia mencipta sejarah layak ke pusingan akhir Piala Asia secara merit buat kali pertama selepas 42 tahun.
Terus maju Syihan!
Kredit Foto: FAM