Proses Naturalisasi: Jadi Kehendak Atau Keperluan Untuk Harimau Malaya?

Sejak pertama kali trio pemain naturalisasi diperkenalkan iaitu Liridon Krasniqi, Mohamadou Sumareh, dan Guilherme de Paula diperkenalkan, ianya telah pun mengubah landskap bola sepak tempatan dalam pelbagai aspek.

Menerusi ketiga pemain tersebut, ia sebenarnya telah membuka pintu harapan baharu buat mana-mana pemain import dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) kini untuk cuba mendapat ruang bagi beraksi bersama skuad kebangsaan dengan status naturalisasi.

Walaupun ia mengambil masa selama lima tahun menerusi syarat ditetapkan untuk mendapat taraf berkenaan, perkara itu tidak menjadi masalah buat mana-mana import yang menyimpan hasrat tersebut untuk terus kekal di Malaysia dan berpindah randah menyertai pelbagai kelab selain terus konsisten.

Malah, ada sesetengah kelab tempatan juga sebenarnya sudah pun membuat projek jangka masa panjang dengan meminjamkan pemain import ke kelab lain sebelum kembali ke pangkuan mereka, setelah tempoh sudah cukup sebelum didaftarkan untuk slot tempatan.

Melihat kepada situasi kini, Malaysia secara rasminya sudah pun mempunyai tujuh pemain naturalisasi dan lima daripadanya sudah mempunyai aksi bersama skuad kebangsaan di pentas antarabangsa.

Terbaharu, Endrick dos Santos serta Paulo Josue secara rasminya sudah pun didaftarkan selaku pemain naturalisasi oleh kelab masing-masing dan mendapat panggilan skuad negara.

Menerusi ura-ura sebelum ini, dikhabarkan pertahanan import Terengganu iaitu Argzim Redzovic serta penyerang Kuala Lumpur City (KL City), Romel Morales turut dicalonkan sebagai pemain naturalisasi negara selepas ini.

Persoalannya, adakah pengambilan naturalisasi ini merupakan suatu kehendak atau keperluan buat bola sepak negara?

Sejak tahun lalu, sebenarnya impak diberikan oleh barisan pemain naturalisasi ini tidak begitu dirasai buat kem kebangsaan, dengan nama de Paula serta Liridon antara menjadi sasaran kecaman para penyokong.

Malah, aksi ditampilkan oleh Sergio Aguero bersama Lee Tuck pada tahun lalu juga sebenarnya tidak begitu menyerlah, selain sumbangan ditagih para pemain ini untuk corak permainan lebih menyakinkan tidak begitu dirasai.

Sebaliknya, para pemain tempatan ketika itu seperti Faisal Halim lebih menonjol aksinya di atas padang dan mencatat rekod jaringan lebih berkualiti untuk pasukan kebangsaan.

Tahun ini, tiada lagi nama Lee Tuck dan Aguero dipanggil untuk aksi persahabatan Harimau Malaya menentang Turkmenistan dan Hong Kong, sebaliknya Kim menyenaraikan Endrick bersama Josue.

Sebagai seorang pengendali, Kim pastinya mempunyai sasaran tersendiri untuk melepasi KPI ditetapkan oleh pihak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), disebabkan itu beliau akan terus menggunakan pemain naturalisasi untuk skuad kebangsaan.

Ianya menjadi suatu keperluan buat Kim jika dilihat, kerana pemain naturalisasi yang dipilih ketika ini mempunyai rekod semasa sangat memberansangkan dalam carta Liga Super.

Walaupun ramai yang menyebut impak diberikan oleh pemain naturalisasi buat permainan bola sepak negara tidak begitu dirasai, Kim pastinya mempunyai alasan tersendiri untuk terus menggunakan khidmat mereka.

Malah, dua nama yang dipanggil ini masih lagi belum beraksi di pentas antarabangsa bersama Malaysia dan ini menjadi peluang terbaik buat Kim untuk menguji keberkesanan Josue dan Endrick buat Harimau Malaya.

Kehendak ketika ini mungkin boleh ditujukan kepada kelab-kelab tempatan yang mula untuk memperluaskan lagi jaringan status naturalisasi dalam kalangan pemain import mereka.

Cuma apa diharapkan, pihak pengurusan tidak mengikut telunjuk nafsu dengan terus mendaftarkan mereka tanpa melihat faktor gaji, kesesuaian permainan, serta usia semakin meningkat.

Kesimpulannya walaupun program naturalisasi telah dihentikan oleh FAM, namun setiap kelab masih lagi boleh meneruskan hasrat mereka dalam usaha untuk mengukuhkan barisan pemain sedia ada untuk saingan liga.

Status terkini menyaksikan barisan naturalisasi juga menjadi suatu keperluan buat bola sepak negara, kerana Kim yang menginginkan terbaik buat corak permainan, serta mahu menggunakan setiap peluang ada bagi menguji pemain-pemain baharu didaftarkan.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN