Presiden Levante UD, Francisco Javier Catalan Vena berpendapat tindakan Malaysian Football League (MFL) memperkenalkan Economic Control Programme (ECP) adalah satu langkah sangat tepat dalam mengatasi masalah kewangan pasukan.
Ini kerana ECP menunjukkan keputusan positif di LaLiga sekali gus beliau percaya formula itu juga boleh membantu MFL memantapkan pengurusan kewangan pasukan Liga Malaysia.
Catalan, 44, pada awalnya mengakui tidak berasa selesa dengan ECP sejak LaLiga mula mempraktikkan peraturan itu sejak 2014.
Bagaimanapun persepsi itu berubah apabila pelaksanaan ECP terbukti berhasil bukan sahaja membantu mengurangkan masalah hutang tetapi turut membantu menaikkan nilai komersial setiap kelab bertanding.
“Kelab-kelab di LaLiga mempunyai banyak hutang di bawah pentadbiran terdahulu.
“Sudah pasti kami tidak gembira dengannya (ECP) pada mulanya tetapi disebabkan perubahan drastik itu kami kini boleh mengatakan bahawa ECP adalah keputusan terbaik yang dibuat oleh bola sepak Sepanyol sejak penubuhan LaLiga pada tahun 1929.
“Ia (ECP) menjadikan kami kelab bola sepak terbaik bukan sahaja di atas padang tetapi juga di luar padang. Ia juga membuatkan kelab kami berada di tahap sama dengan kelab lain.
“Terdapat persaingan sebenar di kalangan kelab besar, sederhana dan kecil di mana semua orang dilihat sebagai sama, mematuhi peraturan yang sama dan bersaing di tahap yang sama.
“Justeru, cara MFL berfikir, bekerja dan hakikat bahawa mereka melaksanakan ECP menunjukkan bahawa mereka mahu berkembang bukan semata-mata di Asia Tenggara tetapi di Asia. Dengan memiliki mentaliti dan cita-cita seperti itu akan menjadikan mereka sebagai contoh di Asia sedikit masa lagi,” ujarnya.
Catalan yang sebelum ini berada di Kuala Lumpur untuk menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Pahang Rangers Futsal Club, berkata pelaksanaan ECP akan menyaksikan Liga Malaysia bakal meraih impak dalam tempoh akan datang.
Jelasnya, Liga Malaysia mungkin masih belum mencapai standard Jepun dan China tetapi mereka pasti akan berkembang seperti apa yang berlaku dalam bola sepak Sepanyol untuk membasmi hutang hanya setahun selepas pelaksanaan ECP.
“Perkara penting ialah Liga Malaysia perlu membina semangat, budaya dan kemahiran bola sepak dari akar umbi kerana ia adalah sukan paling diikuti di Malaysia.
“Itulah yang kita lihat Pahang sekarang. Mereka sudah mula dari bawah dan bagaimana Levante akan membantu adalah dengan membantu mereka membuat akademi, asas dan falsafah futsal,” katanya.
Kredit foto: AS